Haramkan penerimaan dana politik dari luar - Tengku Razaleigh

Iklan
Tengku Razaleigh

GUA MUSANG - Kerajaan disaran agar mengharamkan semua pemimpin dan parti politik daripada menerima sumbangan dana politik daripada luar negara.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, sumbangan yang disalurkan mana-mana individu, pertubuhan, parti politik secara sukarela hanya akan mengundang amalan politik wang yang lebih berleluasa.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau turut menggesa satu undang-undang khusus perlu digubal bagi mencegah budaya politik wang yang didakwanya terus berleluasa dalam pentadbiran parti politik di negara ini.

Menurutnya, selama ini, disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang longgar dan lemah menjadi sebab politik wang terus menular.

Iklan

Dalam masa sama, kata Tengku Razaleigh, sudah tiba masanya kerajaan bertegas dan melakukan penguatkuasaan yang ketat bagi mengekang masalah politik wang.

"Kita tak mahu lagi orang mendapat duit daripada mana-mana dana daripada mereka yang anti negara kita, yang anti kerajaan kita untuk membiayai aktiviti politiknya semata-mata kerana nak rosakkan demokrasi kita dan nak menumbangkan kerajaan kita secara yg tidak baik.

Iklan

"Saya juga cadang supaya kita haramkan kutipan derma oleh sesiapa untuk tujuan politik. Ini bererti tidak ada lagi peluang orang nak cari duit kononnya untuk parti politik mereka tetapi masuk poket masing-masing dan dia dapat mewujudkan dana dan dana itulah yang akan digunakan utk membunuh semua (musuh) politik dia dalam parti dan luar parti... dan saya rasa sampai masa kita bertegas hal ini,” kata Tengku Razaleigh.

Tambah Tengku Razaleigh lagi, banyak kesan tidak baik apabila politik wang diamalkan termasuklah ‘membunuh’ potensi pemimpin muda.

Katanya, isu politik wang harus ditentang secara berterusan dan berharap rakyat juga akan menyokong cadangan berkenaan. - Astro Awani