KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tiada kem tertentu wujud dalam UMNO seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin tiada perpecahan yang berlaku dan yang ada kini hanya apa yang disebut sebagai pasukan UMNO.
"Itu juga kebaikan kita tidak ada pertandingan peringkat tertinggi, presiden dan timbalan. Kalau ada pertandingan presiden dan timbalan presiden, mesti ada kem A, kem B dan sebagainya.
"Apabila UMNO berada dalam waktu sukar, kita tak boleh dilihat parti yang berpecah belah," katanya ketika ditemui media selepas majlis Program Amal Pertubuhan Kebajikan Isnaniah Srikandi Malaysia, pada Ahad.
Ahmad yang baru-baru ini memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Hasni Mohammad, meminta semua ahli UMNO termasuk yang kalah dalam proses Pemilihan UMNO supaya terus matang bagi menghadapi cabaran parti pada masa akan datang.
Beliau juga menegaskan, 'pembersihan' yang dilakukan UMNO dengan memecat serta menggantung beberapa inidividu, berpunca daripada kesalahan yang dilakukan, dan bukan kerana mahu menyingkirkan persaingan.
"Saya merujuk kepada dua kesalahan tanpa menyebut sesiapa, orang sudah tahu. Mana boleh memburukkan parti ketika dua minggu kempen pilihan raya umum, sebut parti begitu dan begini, masuk dalam media sosial, masuk media cetak dan sebagainya.
"Dalam masa dua minggu perang itu, dia tembak parti sendiri. Itu satu masalah disiplin.
"Satu lagi apabila sudah sign satu agreement yang tebal yang antara kandungannya menyerahkan kepada Presiden dan pengerusi BN bagi merundingkan bentuk kerajaan selepas PRU15, semua sudah tandatangan tetapi ada yang nak buat ikut pintu belakang itu.
"Ini tidak ada kaitan dengan sesiapa nak (bersaing), ini adalah masalah disiplin ketika pilihan raya umum," tegasnya lagi. - Astro Awani