Agong, Raja Permaisuri berkenan hadiri perbarisan Hari Polis

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Isnin.

Kehadiran Seri Paduka Bagina dan Raja Permaisuri Agong adalah kali pertama dalam sejarah istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis.

Iklan
Iklan

Keberangkatan tiba pasangan diraja pada jam 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya mencemar duli memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan terdiri daripada 102 anggota Kawalan Kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan PDRM yang diketuai Pegawai Pemerintah Baris DSP Mohd Zulfadli Zulkifli.

Iklan

Nyanyian lagu Negaraku dan Sang Saka Biru dialunkan Gabungan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum Seri Paduka berdua menerima penghormatan Diraja disertai lintas hormat tiga buah helikopter yang membawa bendera Sang Saka Biru dan Jalur Gemilang.

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga dipersembahkan dengan kumpulan detasmen terdiri daripada 543 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan PDRM.

Iklan

Antara yang terlibat ialah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta pegawai-pegawai kanan polis.

Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya dipersembahkan dengan Pantomin peringatan 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah yang dikareografikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Ia dijayakan oleh 86 pegawai dan anggota 69 Komando (VAT 69), Pasukan Gerakan Udara, Pasukan Gerakan Am dan Muzium PDRM.

Seri Paduka Baginga berdua turut bertemu dengan waris keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi tragis berkenaan iaitu, Asistan Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud. - Bernama

: Agong, Hari Polis, pantomin, perbarisan