Kemusnahan luar biasa akibat banjir di Sri Medan

Iklan
Keadaan banjir yang melanda Parit Warijo, Sri Medan Batu Pahat baru-baru ini. (Gambar kecil: Zulkurnian)

ISKANDAR PUTERI - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan menyifatkan bencana banjir yang berlaku pada awal bulan ini sebagai terburuk sejak 37 tahun lalu.

Zulkurnian berkata, penduduk Sri Medan kini diuji dengan kemusnahan harta benda selain hilang mata pencarian selepas ladang-ladang pertanian khususnya tanaman kelapa sawit ditenggelami bah.

Iklan
Iklan

"Biasanya, banjir tidak lebih daripada paras lutut, tapi banjir kali ini sampai tenggelam bumbung rumah. Saya sudah tak sanggup nak melihat kesedihan penduduk.

"Soal bantuan pasca banjir yang diumumkan kerajaan negeri dan Persekutuan macam mana yang dihebahkan, tolonglah segerakan. Saya dimaklumkan antara tiga hingga empat bulan baharu dapat.

Iklan

"Sedangkan penduduk rasa sedih, sayu dan hilang punca dengan kemusnahan luar biasa yang tidak terjangka ini. Siapa juga akan menangis dan hiba apabila lebih 90 peratus kediaman mereka rosak, segala perabot dan pakaian turut musnah," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.

Iklan

Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, menjadi topik utama yang mendominasi hampir kesemua soalan lisan dan tambahan serta perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan DUN Johor pada hari ketiga pada Isnin.

Lebih 85,000 rakyat Johor dilaporkan terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini yang disifatkan antara terburuk pernah berlaku dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas teruk membabitkan kira-kira 50,000 mangsa.

Dalam pada itu, Zulkurnain menyeru supaya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sri Medan pernah dibentangkan sebelum ini dilaksanakan segera.

"Sebelum ini diperuntukkan RM42 juta untuk program tebatan banjir di kawasan Sungai Simpang Kiri sudah sering diuar-uarkan, namun bila nak laksanakan

"Kita ada rancangan membina lapan buah rumah pam tapi bila nak buat juga. Saya bercakap isu ini berulang-ulang, akhirnya saya seperti menipu rakyat. Sebab itu, tolonglah, ambil perhatian, anggaplah bencana ini sebagai darurat yang terpaksa kita lalui untuk membantu rakyat," katanya.

Zulkurnain turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan Empangan Sri Medan bagi mengurangkan kesan banjir teruk berikutan muka bumi kawasan itu sebagai kawasan tadahan yang rendah.

Selain itu, beliau menggesa sukarelawan hadir ke Sri Medan bagi membantu penduduk terutama dalam kerja pembersihan selepas banjir surut.

"Emosi penduduk kini berada pada tahap rendah apabila kediaman serta persekitaran mereka rosak dan dipenuhi selut serta lumpur tebal.

"Saya seru datanglah ke Sri Medan, bantulah kami penduduk yang terbeban. Kita nak menghadapi anak-anak masuk IPTA, kita nak menghadapi anak-anak mula

bersekolah, kita nak menghadapi Ramadan, penduduk nak kembali berniaga, kita nak menghadapi hari raya pula selepas itu," katanya.