Jawi, MAIWP peruntuk RM4 juta sedia juadah buka puasa percuma

Iklan
Program Iftar Rahmah Ramadan 1444H menyediakan makanan percuma kepada golongan memerlukan.

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan RM4 juta bagi menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma sepanjang Ramadan nanti.

Jawi dalam satu kenyataan berkata, Program Iftar Rahmah Ramadan 1444H itu merupakan salah satu inisiatif bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat di bawah agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 70 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan terlibat dalam program tersebut.

"Iftar Rahmah Ramadan 1444H adalah sebuah program berkonsepkan 'soup kitchen' yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Iklan

"Tujuan utama program tersebut adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan ahli kariah," katanya.

Antara masjid yang terlibat ialah Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid As-Syakirin KLCC, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Bandar Tun Razak, Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Masjid Jamek Layang-Layangan Labuan dan Masjid Mahmoodiah Presint 18 Putrajaya.

Iklan

Katanya, makanan yang dimasak secara goton-royong itu akan dibungkus untuk diedarkan kepada golongan sasaran yang ditentukan dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA), B40, asnaf, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan.

Ujarnya, dijangka 21,000 penerima akan mendapat manfaat setiap hari dengan keseluruhan 630,000 orang sepanjang sebulan program berlangsung.