ISU pembuangan bayi kini semakin berleluasa dan angkanya juga begitu membimbangkan.
Paling menakutkan pelbagai cara pembuangan bayi dilakukan bagi menutup ‘malu’.
Seolah-olah menjadi trend sekarang bayi sama ada masih hidup atau yang sudah meninggal dunia dibuang di kawasan atau di dalam masjid.
Terbaharu, seorang bayi perempuan cukup sifat dipercayai baru dilahirkan ditemui diletakkan di bahagian kaki lima Masjid Lama Ara Kuda, Sungai Dua, Pulau Pinang, tengah hari semalam.
Bayi terbabit ditemui seorang kanak-kanak lelaki yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada beberapa jemaah lain yang datang untuk menunaikan solat Zuhur di masjid berkenaan, pada jam 1.15 tengah hari.
Saksi, Ahmad Abdullah, 59, berkata, ketika dia bersama jemaah lain sedang bersiap untuk menunaikan solat Zohor, anak jirannya yang juga orang kurang upaya (OKU) memberitahu bahawa ada bayi di dalam kotak kertas.
Menurutnya, tanpa membuang masa, dia bersama jemaah lain bergegas ke kaki lima masjid tersebut untuk membuat pemeriksaan lanjut.
"Apabila saya ke belakang masjid, memang benar ada satu kotak kertas yang tidak bertutup di kaki lima masjid. Apabila melihat di dalamnya, saya mendapati ada seorang bayi. Comel, siap dipakaikan bedak. Bayi itu hanya dibalut dengan kain batik dan tiada kelengkapan ditinggalkan.
"Untuk memastikan keadaannya, saya menyentuh kotak itu dan bayi berkenaan bergerak. Rupanya dia sedang tidur. Langsung tidak menangis walaupun keadaan di masjid pada ketika itu agak bising. Saya percaya, bayi itu baru berusia seminggu namun tali pusatnya telah dipotong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Ahmad memberitahu, walaupun rumahnya terletak berhampiran masjid berkenaan, dia tidak nampak kelibat individu dalam keadaan yang mencurigakan berada di kawasan tersebut.
Beliau berkata, penemuan bayi itu adalah kali pertama berlaku di masjid berkenaan. Tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan masjid berkenaan.
"Saya bersyukur kerana bayi tersebut berada dalam keadaan selamat kerana jarak kaki lima masjid (tempat kotak itu diletakkan) dengan tanah perkuburan hanya tiga meter,” katanya. Polis kesan ibu bayi
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bayi itu seberat 2.8 kilogram.
Menurutnya, bayi itu berada dalam keadaan baik dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan.
"Bayi berkenaan dibawa oleh pegawai perubatan ke hospital pada jam 2.30 petang tadi (semalam) untuk pemeriksaan.
"Pemeriksaan awal mendapati bayi tersebut dalam keadaan sempurna, sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya bagi mengesan ibu atau individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan di kaki lima masjid itu.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh segera menghubungi polis atau tampil ke balai berdekatan,” katanya.