Tiga agenda utama berhasil termasuk kikis imej kleptokrasi

Iklan
Kementerian Luar di bawah kepimpinan Saifuddin komited laksanakan pelbagai agenda untuk negara. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani

PUTRAJAYA - Kementerian Luar berjaya melaksanakan sekurang-kurangnya tiga agenda utama sejak kerajaan PH mentadbir negara selepas memperoleh kemenangan pada PRU14.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kejayaan dalam tempoh setahun itu dicapai selaras dengan hala tuju kementerian yang meliputi keselamatan dan keamanan; mempromosi keperluan negara khususnya ekonomi dan mengekalkan identiti bangsa serta negara.

Iklan
Iklan

Biarpun kerajaan PH terpaksa berdepan dengan jumlah hutang yang besar diwarisi daripada kerajaan sebelumnya tetapi, pihak kementerian terus komited menunaikan melaksanakan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat serta negara.

Saifuddin berkata, satu daripada tiga kejayaan utama kementerian dalam tempoh setahun adalah menggilap nama Malaysia di mata dunia.

Iklan

"Pada peringkat ini kita berjaya mengikis imej negara kleptokrasi yang sering dilabel terhadap pentadbiran terdahulu.

"Bahkan, dunia juga sudah mula melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang memperjuangkan soal demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan peraturan undang-undang," katanya pada sidang media di Wisma Putra di sini, kelmarin.

Iklan

Secara ringkas, istilah kleptokrasi adalah merujuk kepada negara yang dikuasai atau diperintah pentadbir pencuri harta rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak kementerian juga berjaya menyelesaikan masalah utama dengan beberapa negara khususnya China dan Singapura.

"Antaranya ialah mengambil keputusan meneruskan Bandar Malaysia dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas membatalkan, mengkaji, menilai dan mengadakan semula perbincangan dengan China."Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan ECRL bernilai RM44 bilion dapat dijimatkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal (RM65.5 bilion)," jelasnya.

Katanya, selain projek mega kementerian juga berjaya menjalinkan kerjasama dengan China untuk membeli lebih banyak kelapa sawit dari Malaysia memandangkan rundingan bersama Eropah tidak menemui jalan penyelesaian.

Sementara itu, hubungan dua hala Malaysia dan Singapura yang keruh berhubung isu sempadan maritim melibatkan pertindihan had Pelabuhan Johor Bahru berjaya diselesaikan.

Ia berikutan kedua-dua negara sepakat menggantung had pelabuhan berkenaan pada awal bulan ini.

Penggantungan had pelabuhan itu dilakukan selepas Malaysia menggantung penguatkuasaan kawasan larangan (RA) kekal ruang udara Pasir Gudang, Johor manakala Singapura pula bersetuju menarik balik pelaksanaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.

Tindakan tersebut adalah satu daripada lima syor dalam laporan kumpulan kerja mengenai isu-isu maritim berhubung pertindihan had Pelabuhan Johor Bahru berhampiran Tanjung Piai dan had Pelabuhan Singapura berhampiran Tuas yang telah dipersetujui oleh Saifuddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Wisma Putra, pada Mac lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tindakan segera pihak kedutaan dan malawakil dalam menguruskan kepulangan rakyat Malaysia yang ditahan atau terkandas di luar negara antara kejayaan utama Kementerian Luar.

"Buktinya, kementerian berjaya membawa pulang 47 rakyat Malaysia dari Kemboja (yang ditahan di Poi Pet kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian atas talian secara haram sejak 11 Disember 2018) termasuk lapan dari Liberia dan 12 pelajar dari kepulauan Jawa.

"Situasi ini menunjukkan bahawa selain bertugas di kaunter dan menyelesaikan masalah kehilangan dokumen pengenalan diri (pasport), malawakil dan konsular di luar negara juga turun padang membantu menyelesaikan kes-kes utama melibatkan rakyat Malaysia," ujarnya.