ALOR SETAR - Umat Islam dilarang dan tidak digalakkan untuk melawat rumah ibadat agama lain sekiranya tiada sebarang keperluan.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, bagaimanapun ia juga bergantung kepada keperluan dan kepentingan lawatan itu.
"Menziarahi tempat ibadah bukan Islam ini, perkara ini bukanlah suatu yang statik yang dikatakan tidak boleh ataupun hendak dikatakan boleh.
"Ia melihat kepada siapa yang akan membuat kunjungan itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Sedekah Foodbank di Menara Zakat, di sini, pada Isnin.
Fadzil berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada umat Islam dibenarkan melawat rumah ibadat bukan Islam.
Menurut beliau, secara umumnya, umat Islam terutama anak muda tidak boleh mengunjungi rumah ibadat bukan Islam.
Ini kerana katanya, golongan remaja ini dikhuatiri belum memiliki ilmu pengetahuan agama yang tinggi.
"Memang dilarang kerana persiapan dalaman remaja-remaja ini belum mencukupi untuk mereka berhadapan dengan perkara dan isu seperti ini sebab dibimbangi akan menjejaskan akidah," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengunjung tertentu yang memiliki keperluan dan kepentingan boleh melawati rumah ibadat bukan Islam itu.
"(Sekiranya) kunjungan itu adalah kunjungan wajib yang ada keperluan dan kepentingan daripada kalangan pemimpin ataupun tokoh agamawan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
"Walaupun dia (individu) melakukan ziarah ke tempat-tempat (rumah ibadat bukan Islam) dan sebagainya, serta tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap akidahnya, maka boleh (lawat)," katanya.
Fadzil menerangkan, ia bagaimanapun masih tertakluk kepada tujuan dan tahap keperluan, misalnya untuk menjaga keharmonian dan hubungan dengan masyarakat.
Tambah beliau, individu tersebut juga masih terikat dengan syarat tidak melakukan ritual berbentuk keagamaan lain.