JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad menerima secara terbuka keputusan pemilihan UMNO yang menyaksikan beliau tewas dalam persaingan merebut tiga jawatan Naib Presiden parti dan juga Ketua UMNO Bahagian Pontian pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu menjelaskan, kekalahan tersebut tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk bekerja membantu rakyat.
"Saya berlapang dada menerima keputusan Pemilihan UMNO 2023-2026. Keputusan ini tidak akan sesekali mengurangkan tanggungjawab saya untuk bekerja dan memimpin masyarakat di Benut dan Simpang Renggam.
"Saya tetap berpegang kepada prinsip mengabdi hidup berkhidmat," katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya pada Isnin.
Hasni yang memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pontian selama 22 tahun kalah kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kewangan itu memperoleh 388 undi, berbanding Hasni yang meraih 291 undi pada pemilihan yang diadakan di Dewan Jubli Intan Pontian pada Sabtu.
Hasni yang merupakan antara lapan calon Naib Presiden UMNO turut tewas pada pemilihan tersebut apabila hanya memperoleh 39 undi.
Jawatan Naib Presiden UMNO dimenangi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.