Ahmad Said lawat KTCC Drawbridge

Iklan
Ahmad meninjau perkembangan terkini KTCC Drawbridge. Gambar: Facebook Ahmad Said

KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkongsi beberapa keping gambar lawatan beliau ke tapak projek jambatan angkat Kuala Terengganu City Centre (KTCC Drawbridge) menerusi laman sosial facebooknya, petang semalam.

Tujuh keping gambar dimuat naik jam 5.18 petang itu menunjukkan beliau meninjau perkembangan pembangunan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu.

Iklan
Iklan

Ahmad berkata, beliau berkesempatan untuk melawat projek jambatan KTCC Drawbridge dan telah dimaklumkan ia akan dapat digunakan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, beliau berharap kemudahan itu dapat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Iklan

"Kemudahan ini sudah pasti akan memberi banyak manfaat kepada rakyat, khususnya, pengguna jalan raya di samping menjadi satu tarikan baru untuk pelancong datang ke negeri ini," tulisnya.

Gambar dimuat naik menerusi laman sosial Ahmad menunjukkan beliau meninjau perkembangan terkini projek itu.

Sementara itu, status dimuat naik Ahmad mendapat pelbagai reaksi pengguna aman sosial itu, antaranya, Mohd Zaid berkata, cetusan idea projek itu telah menjadi kenyataan.

Iklan

"Idea Dato menjadi nyata, bukan mimpi," katanya.

Selain itu, Mohd Nasir Rohani turut menghargai sumbangan bekas menteri besar itu.

"Terbaik Datuk. Impian terlaksana. Pelancongan bakal menjadi pemacu ekonomi rakyat Terengganu. Anugerah daripada ALLAH SWT melalui idea Datuk," katanya.

Pada 20 Mac 2014, Ahmad bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issac John dan Pengurus ECERDC Wilayah Terengganu, Ahmad Hasim ketika itu menyempurnakan majlis pecah tanah dan pelancaran projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

Ahmad sebelum ini berkata, projek dengan nilai kasar lebih RM5 bilion dan berkeluasan kira-kira 1.6 juta kaki persegi itu, dijangka menarik pelaburan RM3.9 bilion, dengan RM3.5 bilion daripada sektor swasta.