Amaran ribut petir, hujan lebat sehingga Mei depan

Iklan
Semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang. - Foto hiasan/Bernama

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat susulan fasa peralihan monsun bermula Khamis ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, peralihan fasa berkenaan yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei depan secara tidak langsung menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) 2022/23 yang bermula sejak 7 November 2022.

Iklan
Iklan

"Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang.

"Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu Muhammad Helmi menjelaskan, keadaan cuaca seperti itu turut berpotensi berlaku banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan.

Iklan

"Amaran dikeluarkan melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.