SHAH ALAM - Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang, pagi ini.
Menurut sumber, Azwanddin akan didakwa atas tuduhan mengeluarkan ucapan berbaur ugutan terhadap pasukan keselamatan dalam Perhimpunan Aman Keadilan untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di Klang, Disember tahun lalu.
Susulan insiden itu, Azwanddin ditahan pada jam 2.40 petang di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur sehari selepas mengeluarkan ucapan itu.
Disember tahun lalu, ketika berucap dalam perhimpunan itu, Azwanddin mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dan kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.
Dalam perhimpunan tersebut, lebih 1,000 peserta memakai baju berwarna hitam berarak sejauh 400 meter dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni.
Mereka berarak dengan membawa sepanduk ‘Justice for Adib’ dengan tujuh tuntutan dari Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) yang menjadi penganjur perhimpunan itu.
Tujuh tuntutan itu antaranya memberi masa selama 40 hari supaya kerajaan menyelesaikan itu tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ugut serang balai: Azwanddin ditahan polis