BANGKOK - Parlimen Thailand dibubarkan pada Isnin manakala pilihan raya umum akan berlangsung pada Mei.
Raja Maha Vajiralongkorn telah mengesahkan dekri untuk membubarkan Parlimen, menurut Warta Diraja yang diterbitkan pada Isnin.
"Langkah ini adalah untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat bagi membuat keputusan politik dengan Raja sebagai ketua negara,” menurut dekri yang diterbitkan pada Isnin.
Di bawah perlembagaan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka bermesyuarat minggu ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya.
Bagaimanapun, pemerhati membuat spekulasi pilihan raya akan berlangsung sama ada pada 7 Mei atau 14 Mei iaitu hari Ahad.
Prayuth Chan-o-cha, 68, akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang walaupun had lapan tahun sebagai perdana menterinya berakhir pada 2025.
Untuk pemilihan tahun ini, beliau akan bertanding di bawah parti baharu - Parti Bangsa Thai Bersatu sebagai calon Perdana Menteri manakala Parti Palang Pracharath menamakan Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan sebagai calon Perdana Menteri.
Prayuth telah mengetuai kerajaan campuran selepas pilihan raya umum 2019.
Sementara itu, tinjauan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) menunjukkan anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kekal menjadi pilihan utama sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Tinjauan yang diterbitkan pada hujung minggu menunjukkan sokongan Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai melonjak 10 mata kepada 38.2 peratus dan Pita Limjaroenrat dari Parti Move Forward di tempat kedua dengan 15.75 peratus manakala Prayuth (15.65 peratus). - Bernama