BUKIT MERTAJAM - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas sejumlah 50,340 liter diesel bersubsidi yang diseleweng dalam lapan kes berasingan sepanjang pelaksanaan Ops Tiris sejak 1 Mac lalu hingga semalam.
Nilai keseluruhan rampasan diesel dan kenderaan bernilai RM369,231.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan berkata, dalam dua kes terbaru, seorang pemandu lori bertindak meninggalkan lori seberat tujuh tan di tepi jalan di Bandar Perda di sini, selepas menyedari diekori penguat kuasa KPDN Pulau Pinang.
Katanya, pihaknya mengesan lori berkenaan mencurigakan apabila hasil pemantauan mendapati lori berkenaan mengisi minyak di beberapa buah stesen minyak sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, pihak penguat kuasa mengekori kenderaan tersebut dan masa yang sama pihak tonto dipercayai turut mengekori mereka dalam kejadian jam 3 opetang.
"Sebaik tiba di tepi jalan di bangunan pusat beli belah Perda City Mall yang tidak beroperasi itu, pemandu lori tersebut yang dipercayai menerima maklumat daripada tonto tentang kehadiran kami telah bertindak meninggalkan lori tersebut di situ sebelum melarikan diri (bersama tonto) bagi mengelak ditahan.
"Pemeriksaan dalam lori itu mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan di bahagian belakang (lori) yang mengandungi 6,000 liter diesel bersubsidi dan dua unit motor pam serta hos di bahagian bawah lantai kenderaan itu bagi tujuan sedutan diesel dari tangki asal," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Katanya, modus operandi sindiket itu ialah membeli diesel bersubsidi di beberapa stesen minyak sebelum mengumpul di satu tempat penyimpanan sementara bagi tujuan penjualan kepada pihak industri dan pihaknya juga percaya sindiket tersebut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi pergerakan pihaknya agar mereka tidak tertangkap.
Jegan berkata, pihaknya merampas diesel bersubsidi dan lori serta peralatan tersebut yang kesemuanya bernilai RM73,500 dan usaha mengesan rangkaian sindiket tersebut giat dijalankan dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan.
Dalam serbuan berasingan, katanya, pihaknya menyerbu sebuah premis di Sungai Bakap, di Nibong Tebal pada 10.30 malam semalam dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun serta merampas tiga buah lori yang mengandungi 4,600 diesel bersubsidi dipercayai untuk di seleweng yang kesemuanya bernilai RM60,390.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan penguatkuasanya menyerbu sebuah stor penyimpanan barang kawal berjadual iaitu gas petroleum memasak (LPG) dan merampas 80 tong LPG 14 kilogram(kg) bernilai RM23,528 dalam serbuan di Permatang Pasir, Balik Pulau. dekat sini, jam 6.03 petang Jumaat lepas.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dan siasatan awal mendapati LPG subsidi tersebut untuk diselewengkan iaitu menjual kepada pihak industri.
"Pihak kami turut menyita sebuah lori dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kes itu termasuk pihak industri yang membeli LPG tersebut," katanya. - Bernama