PENJAGA gol nombor satu skuad kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, tidak menanggap kedudukannya selesa, sebaliknya satu cabaran bersama tiga rakan lain menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong, Khamis ini dan Selasa depan.
Penjaga gol skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, tiga lagi rakan yang turut dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri.
Selain, Ahmad Syihan Hazmi, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon turut memanggil penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, Damien Lim (Sabah FC) dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan FC) dalam senarai 27 pemain ke kem latihan pusat negara.
"Semua penjaga gol yang dipanggil bagus-bagus dan ia membuatkan saya perlu (berusaha) dan buat lebih lagi,” kata penjaga gol berusia 27 tahun itu ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor pada Isnin.
Sementara itu, katanya, latihan di bawah Pan-gon adalah berintensiti tinggi dan kesemua pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya.
Meskipun terdapat perbezaan antara skuad Piala AFF dan barisan pemain yang dipanggil menjalani latihan, beliau pada masa sama mengharapkan agar kesemua pemain dapat memberikan yang terbaik dan berusaha pada tahap 100 peratus.
"Insya-ALLAH, saya akan berikan 100 peratus dan rasa bersyukur dapat sampai ke tahap ini,” katanya.
Kedua-dua aksi persahabatan tersebut akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - Bernama