SEREMBAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan merampas 16 unit bubu naga di perairan Pulau Perjudi, Port Dickson, pada Isnin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, aset Maritim telah menemui dan merampas 16 unit bubu naga, dua pemberat dan sauh di kedudukan 0.1 batu nautika barat daya Pulau Perjudi, pada jam11.15 pagi.
"Ini merupakan rampasan keempat bagi tahun ini, lebih kurang 270 unit bubu naga telah dirampas dan dimusnahkan oleh Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan bagi tahun 2022 dan 2023.
"Penggunaan bubu naga telah diharamkan penggunaannya oleh Jabatan Perikanan sejak November 2018 kerana boleh menjejaskan pertumbuhan hasil laut dan memusnahkan benih serta ikan kecil yang akan terperangkap dalam bubu naga ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku dan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi tindakan segera. - Bernama