KELAB sensasi Liga Kejuaraan Inggeris, Wigan Athletic dikenakan pemotongan tiga mata selepas The Latics gagal membayar gaji pemain bulan ini, kata Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) pada Selasa.
Wigan, yang kini berada di tangga tercorot liga dalam kalangan 24 pasukan bertanding, juga telah didakwa awal musim ini selepas melakukan pembayaran lewat pada Jun, Julai dan Oktober tahun lalu.
Perkembangan terkini itu menyaksikan kelab barat laut itu mengumpul 31 mata - lapan mata dari zon keselamatan.
"Pelanggaran terbaru oleh kelab bolasepak Wigan Athletic bagi melaksanakan tanggungjawabnya seperti dalam terma Keputusan Dipersetujui yang dimeterai kelab dengan EFL pada Januari 2023, menyaksikan sekatan secara automatik diaktifkan terhadap kelab.
"Pemilik kelab juga sebelum ini dikehendaki mendepositkan jumlah sama dengan 125 peratus daripada jangkaan bil gaji bulanan dalam akaun ditetapkan yang akan digunakan sekiranya berlaku lagi kelewatan proses pembayaran gaji pasukan.
"Dalam pelanggaran selanjutnya terhadap terma Keputusan Dipersetujui, pemilik kelab didapati gagal mendepositkan jumlah yang sama dengan 125 peratus daripada jangkaan bil gaji bulanannya dalam akaun kelab seperti ditetapkan.
"Ini juga menjadi syarat utama Keputusan Dipersetujui bagi menghalang kelab melanggar Peraturan EFL sekali lagi, sekiranya terdapat kelewatan dalam pemprosesan pembayaran segmen luar negara pada masa depan," kata EFL dalam satu kenyataan.
Tambah EFL lagi pemilik Wigan Athletic juga akan didakwa atas salah laku.
Sebagai rekod, kelab itu diambil alih pada 2021 oleh Phoenix 2021 Limited, yang diketuai oleh ahli perniagaan Bahrain, Abdulrahman Al-Jasmi yang bertekad memacu Wigan Athletic kembali semula ke era kegemilangan dan kemahsyuran.
Sementara itu, pengurusan The Latics berkata:"Kelab telah merekodkan kenyataan serta pertuduhan EFL, dan akan mengeluarkan maklumat terkini mengenai situasi gaji semasa dalam masa terdekat."
Wigan sebelum ini pernah menghabiskan lapan musim dalam Liga Perdana Inggeris, dengan kempen 2012-13 menjadi kelab pertama memenangi Piala FA kemudiannya diturunkan divisyen pada musim sama.