KULIM - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mengedarkan sarapan pagi percuma kepada penuntut sepanjang minggu peperiksaan akhir yang bermula pada 21 hingga 25 April ini.
Exco Kelab dan Persatuan MPP merangkap Pengarah Program Sarapan Minda Intelek, Nur Anisah Mohd Asmadi berkata, inisiatif itu diambil bagi membantu penuntut yang terpaksa berjimat cermat hinggakan ada antara mereka berpuasa.
Menurutnya, situasi itu berlaku pada hujung semester berikutan wang Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semakin terhad.
"Saya menyedari ada di antara kawan-kawan yang sering kali mengikat perut untuk berjimat kerana kekangan kewangan. Ada yang makan mi segera sebelum dan selepas pulang dari kelas termasuk berpuasa.
"Duit poket serta PTPTN perlu digunakan sebaik mungkin untuk membeli buku, peralatan, rumah sewa dan pelbagai lagi," katanya.
Katanya, melalui program itu, MPP dengan kerjasama pentadbiran PTSB mengedarkan 200 pek makanan dan minuman percuma kepada penuntut setiap hari.
"Setiap hari 200 pek sandwich, air kotak dan air kopi akan diedarkan kepada penuntut. Program ini merupakan salah satu manifesto disuarakan saya dan kawan-kawan sebelum ini.
"Saya amat bersyukur dan gembira melihat program ini berjaya direalisasikan di PTSB. Program ini amat membantu penuntut mendapatkan tenaga khususnya pada minggu peperiksaan," katanya. Nur Anisah berkata, program itu melibatkan penyertaan semua MPP iaitu seramai 33 orang dengan tugasan dilakukan secara bergilir-gilir.
"Setiap hari tujuh MPP akan bertugas. Tiga orang akan menjaga kawasan parkir kenderaan, tiga lagi bertugas di asrama dan seorang ahli jawatankuasa akan uruskan program," katanya.
Menurutnya, program itu akan diteruskan semester depan dan MPP mengalu-alukan sumbangan pihak luar bagi meringankan beban penuntut.
"Pensyarah, pengurusan PTSB serta kawan-kawan memberikan sokongan penuh dalam menjayakan program ini," katanya.
Dalam pada itu, seorang penuntut semester 2 Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Aliff Hassan berkata, dia sangat bersyukur dengan inisiatif dilakukan MPP dan PTSB.
"Edaran makanan ini dapat kurangkan kos perbelanjaan harian dan memudahkan kami. Dengan pengambilan sarapan pagi saya rasa lebih bertenaga dan fokus ketika menjawab peperiksaan."Saya dan rakan-rakan juga tak perlu kelam kabut untuk membeli makanan di pagi hari sebelum memasuki dewan peperiksaan," katanya.
Tambahnya, program berkenaan diharap diteruskan lagi pada waktu kuliah dan tidak tertumpu pada waktu minggu peperiksaan sahaja.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSB, Mohd Yusaini Mohamed Ali berkata, sebanyak 200 paket sarapan yang diedarkan kepada penuntut akan habis dalam tempoh 30 minit sahaja.
Menurutnya, edaran sarapan pagi dimulakan seawal jam 7.30 pagi dan ternyata memberi manfaat kepada penuntut yang tinggal di kolej kediaman mahupun di luar kampus.
"Alhamdulillah program ini dapat meringankan perbelanjaan harian penuntut. Segelintir mereka mempunyai masalah kewangan dan seringkali jarang bersarapan untuk berjimat.
"Jadi dengan adanya program ini, ia amat membantu penuntut untuk lebih bertenaga khususnya pada minggu peperiksaan," katanya.