Caj air mentah: Kedah minta kerajaan pusat jadi orang tengah

Iklan
Muhammad Sanusi menelusur Sungai Kedah untuk meninjau keadaan sungai itu berhampiran Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR - Kerajaan pusat diminta menjadi orang tengah bagi membantu menyelesaikan isu air di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan caj air mentah oleh pihaknya sehingga kini tidak diberikan perhatian oleh negeri jiran itu.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tiada perkembangan berhubung isu ini, sikap mereka masih sama. Kalau keadaan ini berterusan, kita ada langkah-langkah lain yang kita akan ambil.

"Dahulu, pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ada juga usaha adakan pertemuan tetapi di bawah menteri yang baharu ini masih belum ada lagi.

Iklan

"Mesti ada orang tengah untuk jadi pengendali adakan rundingan dan pertemuan. Saya harap kerajaan pusat dapat jadi perunding itu tetapi buat masa ini selepas tukar kerajaan masih belum ada lagi,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Sambutan Hari Air Sedunia 2023 peringkat Kedah di Wisma Darul Aman, dekat sini.

Iklan

Jelasnya, kerajaan negeri Kedah tidak akan berhenti menuntut hak daripada Pulau Pinang dan beliau berharap Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) akan membantu menyelesaikan perkara tersebut.

"Semua sudah faham dengan isu tuntutan air, isu penyelenggaraan ini. Bukan sahaja kos penyelenggaraan yang kita keluarkan tetapi kos yang kita lepaskan juga banyak dan tinggi, jadi Pulau Pinang bayarlah,” ujar Muhammad Sanusi lagi.

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama peserta membuat senaman ringan sebelum melepaskan acara LSANK Fun Run 2023 di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Sementara itu, bagi persiapan menghadapi fenomena La Nina di negeri ini, Muhammad Sanusi berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah mengeluarkan kenyataan dan maklum dengan masalah air yang dihadapi oleh rakyat di Kedah.

Menurutnya, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah juga telah memaklumkan beberapa telaga boring (tiub) yang dibuat sebelum ini diaktifkan semula bagi proses pengepaman.

"Apabila musim kemarau, banyak muka sauk tergantung akibat paras air sungai yang berkurangan, jadi perlu buat pelarasan kena turunkan pam dan proses itu agak rumit, tetapi saya berharap masalah bekalan air ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini masalah air belum berada pada tahap kritikal kerana takungan air di beberapa empangan di Kedah masih berada paras yang sempurna dan mencukupi.

"Beberapa empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, paras air masih stabil.

"Kita juga minta SADA untuk memperbanyakkan penghantaran air menggunakan lori sekiranya sistem paip di mana-mana kawasan tidak lagi dapat membekalkan air yang cukup ke rumah-rumah kediaman,” kata beliau lagi.