KOTA BHARU - Sebahagian mangsa banjir di negeri Kelantan sudah menerima bantuan RM50 juta yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembayaran dilaksanakan selepas mesyuarat bersama kerajaan negeri dan ketua-ketua jajahan bagi mendapatkan senarai mangsa berpindah dan tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Setakat ini, pihak JPP menyalurkan peruntukan kepada ketua-ketua jajahan sebanyak RM21.41 juta yang terdiri daripada RM12.3 juta untuk bantuan kepada mangsa yang berpindah manakala RM9.1 juta kepada mangsa yang tidak berpindah.
"Sebanyak RM30,000 pula diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (Pas-Limbongan) di Persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di sini pada Selasa.
Ahmad berkata, sebahagian daripada keseluruhan peruntukan itu sedang dalam proses pembayaran kepada mangsa-mangsa banjir yang selebihnya.
"Mangsa-mangsa yang berpindah seperti daerah Pasir Puteh dan Bachok sudah dibayar dan di Tumpat yang tidak berpindah belum dibayar serta di beberapa lagi jajahan lain,” katanya.
Semasa Monsun Timur Laut, Disember tahun lalu, Kelantan merekodkan lebih 33,000 mangsa banjir yang berpindah ke PPS melibatkan daerah antaranya Pasir Mas, Rantau Panjang dan Kuala Krai.
Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan kerajaan negeri itu belum lagi menerima secara rasmi peruntukan pembangunan tambahan berjumlah RM350 juta yang diumumkan kerajaan Persekutuan.
"Peruntukan itu juga belum dapat dipastikan dimasukkan dalam belanjawan terdahulu atau semasa.
"Bagaimanapun hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan berjalan dengan baik melalui beberapa program bersama yang dilaksanakan seperti pembangunan Pasar Tok Kenali,” katanya.