800 banduan dibebaskan hanya seorang masuk semula

Iklan
Saifuddin (tengah) dan Nordin (duduk, tujuh dari kanan) bergambar bersama pegawai tertinggi Jabatan Penjara Malaysia sempena Majlis Sambutan Hari Penjara ke-233 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang pada Selasa.

KAJANG - Statistik terkini menunjukkan seorang daripada 800 banduan dibebaskan kembali ke penjara, berbanding 17 daripada 100 orang sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan satu anjakan yang sangat besar dilakukan oleh Jabatan Penjara Malaysia yang bersungguh-sungguh menjadikan pengurusan dan pelaksanaan modul terbaik buat warga penjara.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan program pemulihan dan modul terbaik dilaksanakan, statistik terkini menunjukkan seorang daripada 800 banduan dibebaskan kembali ke penjara, berbanding 17 daripada 100 orang yang berpatah balik ke penjara sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-233 dengan tema 'Reformasi Ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan' di Maktab Penjara Malaysia, dekat sini.

Iklan

Hadir sama Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi.

Saifuddin berkata, pencapaian baik yang berjaya diperoleh Jabatan Penjara Malaysia itu suatu yang sangat membanggakan, meskipun berhadapan pelbagai cabaran termasuk jumlah penghuni yang melebihi penempatan.

Iklan

Kata beliau, penghuni penjara pada masa ini adalah 79,131 orang, namun kapasiti yang boleh ditampung di penjara atau pusat tahanan sebanyak 65,762 banduan.

Jelasnya, lebihan banduan kira-kira 11 peratus itu memerlukan Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan pendekatan holistik termasuk melaksanakan Program Dalam Komuniti dengan kerjasama organisasi atau syarikat besar di luar penjara.

Katanya, dengan adanya penempatan asrama melibatkan orang parol, bebas berlesen serta bebas diselia dilihat berjaya mengurangkan kesesakan di penjara.

"Pelaksanaan program yang sempurna dan peluang pekerjaan yang diperoleh kumpulan banduan ini, maka kebanyakan mereka insaf dan tidak mahu kembali ke penjara.

"Bagi saya, ia satu pencapaian yang sangat baik apabila kebarangkalian mereka kembali terlibat dengan jenayah dan kembali masuk ke penjara adalah sekitar 0.3 peratus sahaja.

"Oleh yang demikian, kita menyasarkan dua per tiga daripada jumlah keseluruhan banduan akan berada di luar tembok penjara pada 2030," katanya.