ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
SOALAN 1
DOKTOR, saya pernah sekali melahirkan anak secara pembedahan caesarean atau caesar. Saya ada mendengar pelbagai 'versi' mengenai bahaya bersalin secara semula jadi selepas ini. Benarkah saya tidak boleh lagi bersalin secara normal? -Ibu runsing, Suraya Jalil, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
JAWAPAN 1
JIKA sebelum ini Puan pernah menjalani sekali pembedahan caesarean, terdapat dua opsyen boleh dipilih dan hal ini boleh dibincangkan dengan doktor yang merawat Puan.
Puan boleh memilih antara Vaginal Birth After Caesarean (VBAC) ataupun terus memilih untuk bersalin sekali lagi secara caesar, Elective Repeat Caesarean Section (ERCS). Kedua-dua pilihan itu ada kebaikan dan keburukannya.
Untuk pengetahuan pihak Puan lagi, doktor memerlukan semua maklumat seperti yang dinyatakan di bawah dalam menentukan pilihan mana yang selamat: Mengapa menjalani caesar?
Pernah bersalin normal selepas caesar?
Wujud masalah semasa pembedahan atau semasa berpantang?
Apa jenis potongan dibuat pada rahim?
Apa pandangan ibu untuk kelahiran yang sebelumnya?Doktor memerlukan intraoperative notes (apa yang berlaku masa caesar itu) untuk membolehkan keputusan bersalin secara normal atau sebaliknya dibuat dengan teliti.
Ibu-ibu juga akan diberikan kaunseling ketika kandungan berusia 34 ke 36 minggu. Tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat.
Biasanya, selepas sekali pembedahan caesar, tiga daripada empat wanita dengan kehamilan yang tidak bermasalah boleh bersalin normal.
Antara faktor-faktor yang meningkatkan kejayaan bersalin normal:
Pernah melahirkan secara normal, sebelum atau selepas pembedahan caesar (sembilan daripada 10 wanita).
Sakit bersalin secara semula jadi.
BMI ibu kurang 30.Ramai juga bertanyakan, apa kelebihan bersalin secara normal selepas sekali pembedahan caesar? Apa boleh saya katakan ialah:
Kurang komplikasi dibandingkan dengan caesar. Peratusan kejayaan untuk bersalin normal bagi kehamilan berikutnya adalah tinggi.
Proses pemulihan cepat dan boleh kembali menjalankan aktiviti harian dengan mudah.
Tidak memerlukan masa yang lama berada di hospital.
Mudah menyusukan bayi dengan susu badan.
Risiko pembedahan dapat dielakkan.
Bayi kurang berisiko mendapat masalah pernafasan.
Bagaimanapun, ada juga keburukan bersalin normal selepas menjalani sekali pembedahan caesar.
Antara risiko berkenaan mungkin memerlukan pembedahan caesar secara kecemasan ketika cuba bersalin normal (25 dalam 100 wanita).
Pembedahan caesar yang dilakukan secara kecemasan pula membawa lebih risiko jika dibandingkan dengan pembedahan yang dirancang.
Risiko ini meningkat dua ke tiga kali ganda jika anda perlu di induce (mempercepatkan kelahiran).
Ada juga kemungkinan rahim pecah (seorang dalam 200 wanita).
Keburukan bersalin normal juga ada kemungkinan koyakan bersalin yang teruk pada vagina.
Ini pula keadaan yang tidak dinasihatkan bersalin normal buat ibu yang pernah menjalani pembedahan caesar:
Ada dua atau lebih pembedahan caesarean.
Rahim pernah pecah untuk kehamilan sebelumnya.
Pembedahan caesar sebelum ini melibatkan pemotongan di bahagian atas rahim (classical LSCS).
Kehamilan sekarang ada masalah dan tidak sesuai untuk bersalin normal.
SOALAN 2
DOKTOR, saya bakal bersalin beberapa minggu sahaja lagi. Saya pernah bersalin secara caesar sebelum ini. Namun, saya tidak mahu mengambil risiko bersalin secara normal. Adakah terdapat sebarang kelebihan dengan pilihan ini? -Ibu Ragu, Siti Khadijah Abdul Rahman, Bukit Katil, Melaka.
JAWAPAN 2:
MEMANG ada kelebihan bersalin secara Elective Repeat Caesarean Section (ERCS), antaranya risiko rahim pecah adalah kecil (seorang dalam 1,000).
Ibu pula boleh merancang waktu mahu melahirkan. Bagaimanapun, biasanya seorang dalam 10 wanita sudah pun merasai kesakitan bersalin sebelum tarikh yang dipilih ini.
Keburukan bersalin secara ERCS pula selalunya tidak semudah pembedahan caesar sebelum ini. Mungkin mengambil masa lebih lama.
Jangkitan kuman atau ibu mudah mendapat darah beku pada kaki dan pulmonary embolism. Untuk pulih, mungkin lebih lama dan memerlukan pertolongan ekstra di rumah.
Sekiranya, Puan pernah menjalani dua pembedahan, kelahiran seterusnya memang akan dinasihatkan untuk caesar.
Sebenarnya, lebih banyak caesar dilakukan, lagi tinggi risiko uri melekat masuk ke dalam rahim (placenta accreta). Jika hal itu berlaku, pendarahan boleh menjadi terlampau banyak dan mungkin rahim perlu dibuang. Ada kemungkinan juga bayi terluka akibat terkena pisau pembedahan (dua dalam 100).
Selain itu, mungkin berlaku masalah pernafasan pada bayi yang mana lima dalam 100 bayi lahir secara caesar pada 39 minggu kehamilan, jika dibandingkan dua dalam 100 untuk bayi yang lahir secara normal.
Jika bayi lahir secara caesar lebih awal daripada 39 minggu pula, masalah pernafasan bayi lebih kerap berlaku (enam dalam 100 jika dilahirkan pada 38 minggu).
Maka, penting untuk berbincang dengan doktor sebelum membuat sebarang keputusan.