KOTA BHARU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan ketetapan supaya Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob meneruskan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kadar segera bagi mengembalikan hak royalti petroleum kepada rakyat negeri itu.
Usul dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Hassan Mohamood (Pas-Tawang) yang dipersetujui kesemua 45 ADUN tanpa perbahasan selepas dibaca kali kedua oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.
Hassan dalam ucapan cadangannya berkata, usul dibuat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Parlimen), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengatakan hak bayaran tunai petroleum ialah terhad di dalam perairan tiga batu nautika sahaja.
"Sedangkan DUN Kelantan sudah menolak Akta Laut dan Wilayah 2012 serta Akta 750 pada 5 November 2015.
"Perdana Menteri juga menyebut dalam ucapan Belanjawan 2023 bahawa sebahagian wang ihsan akan diurus melalui Kerajaan Persekutuan dan ini menyalahi perjanjian 1975 yang ditandatangani Kerajaan Kelantan dan Petronas,” katanya pada Persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di sini pada Selasa.
Hassan berkata, perjanjian pada 5 Mei 1975 dalam Fasal Satu menyatakan Petronas hendaklah menjelaskan wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah lima peratus daripada nilai petroleum yang diperoleh di Kelantan.
Menurutnya, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein semasa menjawab soalan Lim Kit Siang (Parlimen Petaling Timur) menjelaskan, mengikut perjanjian itu tiap-tiap negeri akan menerima bayaran lima peratus daripada nilai petroleum dijumpai dan diperoleh di dalam atau di luar kawasan perairan negeri tersebut.
"Pada 16 Jun 2013, Sultan Kelantan juga bertitah supaya isu tuntutan royalti petroleum dapat diselesaikan mengikut perjanjian ditandatangani.
"Justeru, berharap Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri akan berlaku adil seleras dengan semangat persekutuan dan nilai ihsan,” katanya.