Kelantan terima surat tawaran naik taraf padang bola

Iklan
KBS dan kerajaan negeri cadang bekerjasama naik taraf padang bola sepak. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Roslan)

KELANTAN sudah menerima surat tawaran peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tujuan menaik taraf padang bola sepak di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, tawaran naik taraf bagi setiap negeri itu dianggarkan berjumlah RM1 juta.

Iklan
Iklan

"Surat tersebut sudah pun dipanjangkan kepada pihak Perbadanan Stadium Negeri Kelantan (PSNK) untuk membuat kajian merangkumi kos penyelenggaraan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rozi Muhamad (Pas-Tendong) pada Persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 pada Selasa.

Iklan

Wan Roslan yang juga ADUN Pas-Pengkalan Kubor itu berkata, sebarang respon yang diperoleh daripada PSNK akan dijawab terus oleh kerajaan negeri itu kepada KBS.

Sebelum ini, KBS menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Iklan

Dalam pada itu, Wan Roslan turut memaklumkan, Kerajaan Kelantan sememangnya berhasrat membina lebih banyak padang sintetik berikutan sambutan memberangsangkan terhadap kemudahan itu.

"Kerajaan negeri sudah mengemukakan lima permohonan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi cadangan membina dan menyiapkan padang bola sepak sintetik di Yayasan Islam Kelantan (YIK).

"Kita juga bercadang membina pusat aktiviti berpadang bola sepak sintetik di Gua Musang dan Kompleks Sukan Komuniti serta menaik taraf Pusat Sukan Tanah Merah dan padang bola sepak Taman Desa Kemuning,” ujarnya.