SANDAKAN - Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Batu 5 Sandakan pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, Raynerd Noell Tan, 22, yang merupakan pemandu kenderaan terbabit disahkan maut di lokasi manakala penumpang yang juga berusia 22 tahun meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri.
"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke tengah pembahagi jalan dan merempuh pokok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, akibat kejadian itu kedua-dua pemandu dan penumpang maut akibat kecederaan parah.
"Pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HDOK.
"Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.