Waris serah baju Baby Syifaa selepas dua bulan

Iklan
Chong Meei Chyi

SEREMBAN - Mahkamah Koroner Seremban pada Selasa diberitahu baju dan seluar yang dipakai Nour Rania Asyifaa Yuseri atau Baby Syifaa hanya diserahkan kepada polis selepas dua bulan kematiannya.

Saksi ke-20 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian bayi prempuan itu, iaitu Pegawai Turus Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Chong Meei Chyi berkata, beliau telah mengambil pakaian Syifaa pada 8 April 2022 dengan pergi ke rumah ibu bapanya di Sendayan.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, Koroner, Datin Surita Budin telah membuat rampasan pakaian tersebut kerana telah dimaklumkan oleh waris yang pakaian si mati masih berada di bawah kawalannya.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad mempersoalkan sama ada prosedur biasa selepas dua bulan barang kes baru dirampas.

Iklan

Meei Chyi menjelaskan yang ia bukan prosedur biasa tetapi sebagai pegawai pemantau atau penyelia dalam kes itu beliau hanya mengetahui perkara berkenaan setelah dimaklumkan oleh pihak waris.

"Waris ada beritahu yang pegawai penyiasat kes tidak buat rampasan daripada mereka dan saya sebagai pegawai pemantau yang menerima maklumat ini telah bertindak membuat rampasan untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Saya tidak terlibat dalam siasatan tetapi memberi bantuan kepada pegawai penyiasat kes," katanya.

Peguam mewakili keluarga Syifaa, Gaithri Thomas turut mempersoalkan perkara sama kerana katanya, menjadi tugas pegawai penyiasat untuk mengambil barang kes secepat mungkin dan bukannya menunggu sehingga dua bulan.

"Apakah alasan diberi oleh pegawai penyiasat, kenapa dia tidak mengambil pakaian itu sendiri? Kenapa mengarahkan puan?" soalnya.

Kata Meei Chyi, beliau tidak pasti dan ketika menerima barang kes tersebut ia berada dalam keadaan baik dan dimaklumkan waris baju dan seluar tersebut masih belum dibasuh.

Pada prosiding yang bersambung jam 2.30 petang, peguam Hafiz Norkhan yang turut mewakili keluarga Syifaa pula mempersoalkan yang Meei Chyi tidak menyelia siasatan kes secara menyeluruh.

Ia selepas Meei Chyi menjelaskan antaranya yang dia tidak cuba mendapatkan keputusan laporan kimia, tidak membaca laporan forensik sebaliknya hanya keterangan pakar forensik.

Bagaimanapun Meei Chyi tidak bersetuju dan memberitahu berpuas hati dengan siasatan dilakukan.

Sementara itu, saksi ke-21, pemilik dan pengasuh kedua taska, Nadzirah Ahmad Damanhuri, 30, berkata, pada awalnya dia menyangka Syifaa hanya pengsan dan meminta kakaknya (Khairulnisa) untuk terus membawa bayi tersebut ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Nadzirah

"Lebih kurang jam 5 lebih, kakak saya telefon dan beritahu Syifaa telah meninggal dunia. Dia pun tak cerita lebih lanjut kerana waktu itu ada ibu bapa yang mahu mengambil anak.

"Saya hanya tahu kejadian sebenar menimpa Syifaa daripada kakak ketika dalam perjalanan ke balai polis. Kakak ceritakan dalam keadaan menangis," katanya.

Nadzirah juga memberitahu ketika taskanya beroperasi di premis pertama, ibu Syifaa pernah berpesan kepada kakaknya, Khairulnisa supaya tidak membenarkan ayah Syifaa mengambil anak sulung mereka pada waktu itu, Nour Raysha Medina.

"Bila saya ingat balik, kakak saya ada cerita pada waktu itu lebih kurang tahun 2017 atau 2018 yang ibu Syifaa pesan jika ayah dia nak ambil jangan bagi.

"Kakak pun pesan kepada saya supaya kunci mangga pagar kerana selalunya kami hanya kunci mangga pintu depan saja," katanya.

Jelasnya, dia tidak pasti kenapa ibu Syifaa berpesan demikian dan tidak bertanya lanjut.

Tambahnya, di premis taska kedua, kakak Syifaa hanya dihantar ke taska tersebut secara transit.

Prosiding kes akan bersambung pada Rabu dengan memanggil sekali lagi Nadzirah dan dua ahli kimia.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang bayi perempuan ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, bapa bayi itu mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.