SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyifatkan Malaysia akan menjadi negara Madani buat golongan terpilih sahaja sekiranya tiada program pecutan khusus buat memacu ekonomi golongan bumiputera.
Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan penuh dan segera terhadap isu bumiputera dengan memperbaharui mandat Majlis Kemakmuran Bumiputera yang mesti diwakili oleh pemegang taruh dari setiap cabang kepentingan sosio-politik-ekonomi, warisan dan agama.
Justeru, MTEM menyarankan agar Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli lebih adil dan menyeluruh dalam membuat keputusan berhubung agenda pembangunan ekonomi bumiputera, dan tidak terperangkap oleh naratif yang sempit dan berat sebelah.
"Kami mencadangkan agar kerajaan melihat realiti lebih daripada terlalu bergantung pada nombor dan analisis.
"Bagaimana keadaan sebenar mereka di bandar dan desa, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, tahap kesihatan fiskal dan fizikal, mental dan spiritual, nilai tabungan dan pelaburan, perlindungan insurans, dan jika mereka dari kalangan peniaga, tahap literasi kewangan serta desakan untuk berniaga.
"Kerajaan juga perlu memberi bantuan selain kewangan, di samping penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti.
"Apa sektor yang ketinggalan yang sedang dikuasai kaum lain yang perlukan lonjakan agar dapat kembali bersaing secara sihat? Buat golongan pekerja yang majoritinya Melayu, bagaimana memastikan mereka ditawarkan gaji bermaruah, serta membanteras amalan diskriminasi dalam sektor swasta tertentu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan dilihat mempunyai kerangka khusus bagi menangani jurang antara gender, jurang antara miskin bandar dan desa, jurang antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak, namun masih teraba-raba mencari formula terbaik menangani jurang antara kaum.
"MTEM mendesak agar kerajaan ketepikan dahulu perbezaan politik dalam menyusun semula dasar dan polisi bumiputera.
"Kita sudah muak dengan perbagai sesi libat urus, makmal dan kongres bertujuan mencari formula terbaik memajukan bumiputera, tetapi seringkali terkandas oleh permainan politik sehinggakan setiap kali kerajaan bertukar maka setiap kali jugalah dasar dan polisi afirmatif bumiputera dirombak secara total," katanya.
Pada masa sama beliau berharap kerajaan dimantapkan dan perhalusi lagi isi kandungan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030.
"Namun jika semuanya perlu penjenamaan semula atau pembaharuan dalam kerangka Madani, MTEM alu-alukan kerana sememangnya ada beberapa perlu diteruskan dan yang perlu ditambah baik yang mesti dilakukan secepat mungkin demi kemakmuran ekonomi orang Melayu dan bumiputera," katanya.