BANGKOK - Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 14 Mei, manakala pengundian awal dijadual pada 7 Mei, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pendaftaran calon dijadual bermula 3 hingga 7 April, dengan penamaan calon"party-list” dari 4 hingga 7 April.
Sekitar 52 juta rakyat Thailand layak mengundi pada pilihan raya kali ini.
Kabinet pada awal tahun ini meluluskan bajet 5.95 bilion baht bagi mengadakan pilihan raya umum.
Thailand mengadakan pilihan raya umum terakhir pada 24 Mac 2019.
Prayuth Chan-ocha, 68, akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang walaupun had lapan tahun sebagai perdana menterinya berakhir pada 2025.
Di bawah perlembagaan 2017, seorang perdana menteri hanya boleh berkhidmat selama lapan tahun.
Beliau akan bertanding di bawah parti baharu- United Thai Nation Party sebagai calon perdana menteri.
Kini, anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kekal menjadi pilihan utama sebagai perdana menteri.
Kajian dari Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) menunjukkan sokongan Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai melonjak 10 mata kepada 38.2 peratus dan Pita Limjaroenrat dari Parti Move Forward di tempat kedua dengan 15.75 peratus manakala Prayuth (15.65 peratus). - Bernama