ATLET negara berada pada tahap motivasi terbaik menjelang 44 hari bagi mengharungi saingan Sukan SEA Kemboja Mei depan.
Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, Sharon Wee berkata, mereka juga begitu teruja untuk menggalas cabaran negara bagi memburu pingat pada temasya dwitahunan itu.
Katanya, segala persiapan termasuk dari aspek mental berjalan dengan baik menerusi sokongan dan kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN).
"Atlet-atlet muda ini teruja untuk beraksi di luar negara. ISN bagi bantuan dari sudut psikologi.
"Mereka juga dijaga dengan baik oleh atlet-atlet senior. Semuanya dalam keadaan baik (mental dan psikologi).
"Saya dan Datuk Shalin (Zulkifli - timbalan CDM) juga ada berpesan kepada atlet, di perkampungan sukan nanti, kami boleh dihubungi 24 jam. Sedia beri nasihat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sharon yang mewakili negara dalam skuasy selama 20 tahun memberitahu, mereka juga sudah berdepan dengan pelbagai tekanan dalam saingan di peringkat tempatan dan luar negara.
Justeru bagi saingan di pentas Asia Tenggara itu, beliau optimis mereka mampu mengurus tekanan dengan baik.
"Mereka atlet terbaik Sukma (Sukan Malaysia) dan pernah bersaing di pentas antarabangsa bagi kategori junior. Sudah biasa dengan tekanan,” katanya
Bekas atlet berusia 46 tahun itu memberitahu, tekanan perlu dilihat dari sudut positif kerana ia bagus untuk membantu meningkatkan prestasi mereka.
"Lagipun ia adalah lumrah buat atlet. Bagi meredakan tekanan, baca buku atlet berjaya yang memberi inspirasi.
"Jadikan quote dalam buku itu sebagai azimat dan kata-kata semangat untuk bangkit dan berjaya,” katanya.
Semasa bergelar atlet, Sharon menggalas cabaran negara dalam Sukan SEA sebanyak lima kali dengan memenangi lima emas.
Beliau turut bersaing di Sukan Komanwel sebanyak empat kali dan tiga edisi di Sukan Asia.