Peluang TNG tingkat mutu perkhidmatan

Iklan
Sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan di beberapa lebuh raya utama menjelang September. - Foto Bernama

PENGUMUMAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai sistem pembayaran terbuka di beberapa lebuh raya utama menjelang September akan datang memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya terutama mereka yang kerap melalui tol berkenaan.

Menurut Alexander, pelaksanaan sistem berkenaan merupakan inisiatif awal dalam peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan.

Iklan
Iklan

Meninjau komen di beberapa laman media sosial mendapati kebanyakan pengguna menyambut baik cadangan itu dan turut menzahirkan rasa gembira kerana tidak lagi perlu bergantung kepada penggunaan kad ‘Touch n Go’ (TNG) yang mana rata-rata lorong di plaza tol sentiasa sesak terutama ketika waktu puncak.

Jika dilihat secara menyeluruh, penambahan pesaing kepada TNG secara tidak langsung mampu memperbaiki mutu perkhidmatan syarikat itu sendiri.

Iklan

Dengan adanya persaingan yang baik, ia akan memberi kesan yang positif kepada pemegang taruh selain banyak faedah kepada pengguna termasuk penyediaan perkhidmatan yang lebih kompetitif dan berkesan.

Mana tidaknya, isu monopoli TNG sering menjadi tumpuan dan perdebatan pengguna ekoran perkhidmatan yang diberikan syarikat TNG kurang memuaskan terutama dalam mengendali isu pembayaran tol menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Iklan

Sejak diperkenalkan, sudah banyak rungutan pengguna dipaparkan di laman sosial sehingga ada yang menyatakan secara sinis akronim RFID sebenarnya merujuk kepada ‘Reverse Forward INSYA-ALLAH Detect’ dan ‘Reverse Forward i Dibuatnya’.

Pada ketika ini pengguna tiada pilihan dan hanya perlu bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan oleh TNG.

Namun diharapkan menjelang suku keempat tahun ini, sistem pembayaran terbuka dapat direalisasikan bagi memberi lebih banyak kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Sebagai rekod, lebuh raya yang bakal menggunakan sistem pembayaran terbuka adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.