SAS kembali, berlangsung 7 hingga 9 September

Iklan
Exco Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim (tengah) ketika sesi pengenalan SAS 2023 yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.

SHAH ALAM - Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2023 edisi ketiga kembali dan akan diadakan dari 7 hingga 9 September 2023 di Skypark Regional Aviation Centre (RAC).

Program bertemakan 'The One & Only Business & General Aviation Show in the Region' itu dianjurkan kerajaan negeri bersama Invest Selangor Berhad bagi membuka ruang pemain industri penerbangan am untuk membina dan mengembangkan rangkaian perniagaan mereka di rantau ini.

Iklan
Iklan

Invest Selangor berkata, SAS 2023 merupakan pemangkin ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di ASEAN.

Menurutnya, industri aeroangkasa telah menjadi sektor penting di Malaysia dengan 67 peratus daripadanya terletak dan beroperasi di Selangor.

Iklan

"Kelebihan geografi Selangor dengan kemudahan hartanah perindustrian, infrastruktur serta 'talent pool' yang pelbagai, merupakan tawaran buat pemain industri global untuk membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Bagi merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi hab aeroangkasa terkemuka di ASEAN, strategi telah dirangka untuk memanfaatkan daya saing Selangor sebagai negeri paling progresif di Malaysia untuk memacu industri ke hadapan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, SAS yang berlangsung selama tiga hari akan menampilkan sektor tempatan dan antarabangsa yang akan mempamerkan produk dan perkhidmatan terkini dalam segmen penerbangan am dan perniagaan, pesawat sukan dan rekreasi, helikopter serta segmen dron.

"Dengan dua dewan pameran dan tiga bilik forum, SAS 2023 menyasarkan untuk mengumpulkan sekurang- kurangnya 50 peserta pameran yang mewakili industri aeroangkasa dan penerbangan terbaik dunia.

"Pemain industri yang berminat untuk menyertai SAS 2023 boleh menghubungi sekretariat di Invest Selangor sebelum 31 Mei untuk menikmati diskaun 5 peratus bagi tempahan awal," katanya.

Selain itu, bekas peserta pameran yang ingin kembali turut serta dalam SAS 2023 juga turut ditawarkan diskaun 10 peratus.

Pengunjung yang merancang untuk hadir ke program berkenaan dinasihatkan untuk merancang lawatan mereka dengan mendaftar di selangoraviationshow.com.