KUCHING - Sebuah lori tangki minyak di premis penyimpanan barangan rampasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Jalan Ellis di sini, terbakar tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan panggilan mengenai insiden itu diterima pada 12.55 tengah malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan serta Batu Lintang telah ke lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Setibanya di lokasi, didapati keluasan kebakaran dianggarkan 10 meter persegi dan turut memusnahkan sebuah lori tangki minyak yang terbakar 100 peratus.
"Selain itu, pihak bomba juga berjaya menyelamatkan 14 daripada 16 kenderaan pelbagai jenis dan sebuah struktur stor penyimpanan barangan rampasan seperti bahan petroleum dan gas petroleum cecair (LPG) berukuran 20x20 meter,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Kebakaran juga tidak melibatkan struktur bangunan dan operasi pemadaman tamat pada jam 1.50 pagi, menurut kenyataan itu. - Bernama