Program Thai Hot Guy: Pemuda UMNO buat laporan polis hari ini

Iklan
Akmal Saleh dan laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO akan membuat laporan polis pada Rabu berhubung acara pembukaan bar menampilkan kumpulan Thai Hot Guy sebagai bantahan terhadap penganjuran majlis itu yang dilihat tidak bermoral.

Ketua Pergerakan Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jika tiada sebarang tindakan pembatalan diambil, pihaknya sendiri yang akan berbuat demikian.

Iklan
Iklan

"Kita tidak memerlukan orang yang tidak tahu menghormati sensitiviti sesama sendiri. Saya menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politk lain bersatu hati menentang perkara yang terkutuk ini.

"Ini negara kita, maka cara dan budaya kita,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.

Iklan

Acara yang dijangka diadakan pada 30 Mac itu turut mendapat bantahan daripada Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ujarnya, tiada keperluan terhadap penganjuran program itu memandangkan ia dijalankan pada bulan Ramadan.

Iklan

Sementara itu di Kota Bharu, Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) juga membantah penganjuran program ini yang disifatkan bertentang dengan budaya masyarakat di negara ini.

Ketuanya, Isham Sharudin berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang menjunjung tinggi tatasusila.

"Amalan dan budaya seperti ini seharusnya disekat serta tidak diberi ruang dianjurkan terutama bagi mengelak fitnah terhadap institusi kerajaan yang memerintah.

"Selain itu, penganjuran program yang dijadual berlangsung pada tarikh 30 Mac ini dilihat boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang merupakan bulan 'pesta ibadat' bagi masyarakat Muslim," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

........................................................................................................................

Pemuda UMNO gesa siasat penganjuran majlis ada unsur LGBT

IPOH - Polis digesa menjalankan siasatan terhadap penganjuran majlis pembukaan Privacy Club Tun Razak yang dilihat boleh mencemarkan imej negara.

Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat, Muhamad Hamzah Md Hamdan berkata, infografik poster yang dimuat naik dalam media sosial itu menunjukkan bahawa wujud unsur- unsur hiburan yang melibatkan aktiviti Lesbian, Gay, Dwiseks dan Transgender (LGBT).

"Gambar terbitan infografik poster tersebut yang menunjukkan sekumpulan lelaki memakai pakaian wanita seksi telah menguatkan lagi andaian bahawa program tersebut melibatkan aktiviti yang melampaui batas-batas hiburan yang dibenarkan dalam negara ini.

"Tarikh penganjuran program yang dijadualkan pada 30 Mac ini merupakan tarikh dalam bulan Ramadan yang mana umat Islam seluruh dunia sedang menunaikan ibadah puasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, perkara itu akan menimbulkan satu sentimen yang negatif sekiranya diteruskan.

"Program ini boleh menggugat ketenteraman awam kerana program tersebut tidak menghormati amalan wajib

umat Islam di dalam negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami memohon pihak polis membuat siasatan lanjut di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 bagi menghalang penganjuran program tersebut," katanya.