ALOR GAJAH - Berbaki beberapa jam memasuki bulan Ramadan, orang ramai tidak melepaskan peluang membuat persiapan akhir membeli barang keperluan harian.
Tinjauan di Pasar Tani Alor Gajah bagaimanapun mendapati jumlah pengunjung tidak ramai berbanding Ramadan lalu mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk sesi persekolahan yang baharu bermula.
Ibu tunggal, Zainon Miskan,57, berkata, dia yang bergaji seminggu sekali sebagai pembantu kedai perlu berjimat cermat dalam membuat persiapan Ramadan.
Menurutnya, ditambah dengan kenaikan harga barang dia hanya akan membeli barang yang benar-benar perlu sahaja dan berbelanja secara sederhana.
"Tak ada nak membeli sangat, mana yang perlu untuk makanan keluarga saya akan beli terutama bahan mentah.
Peniaga daging, Mohd Ridhwan Shaari, 26, mengakui jumlah pengunjung di pasar itu tidak semeriah pada hari 'mantai' sebelum ini dan didapati kuasa membeli semakin berkurangan.
Menurutnya, kebiasaan dalam tempoh dua jam berniaga dari awal jam 7 pagi, kira-kira 200 kilogram daging lembu terjual, namun tahun ini sebaliknya.
"Kali ini boleh lihat orang ramai beli apa yang perlu sahaja.
"Mungkin mereka baharu berbelanja persiapan persekolahan anak ditambah pula dengan hari berkerja hari ini yang menyebabkan orang tak ramai," katanya.
Nordin Maarop, 58, yang telah 20 tahun menjual daging lembu turut mengakui pelanggan berkurangan meskipun harga daging lembu di sekitar pasar itu masih berpatutan antara RM38 hingga RM40 sekilogram.
"Banyak juga faktor, mungkin mereka berjimat cermat dan ada juga yang telah membuat persiapan awal pada hujung minggu lalu," katanya.