KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya tidak membenarkan orang Melayu membincangkan permasalahan yang mereka hadapi.
Sebaliknya, tegas Dr Mahathir yang juga Penasihat Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat, Anwar tidak pernah pula dihalang pula untuk mengadakan demonstrasi setiap minggu.
"Tetapi sekarang sebagai Perdana Menteri, dia (Anwar) tidak benar langsung orang Melayu bincang masalah yang mereka hadapi.
"Proklamasi yang ditulis tidak salahkan bangsa lain tentang nasib malang mereka. Ia menyalahkan pemimpin perasuah sahaja. Merekalah pemimpin yang salah guna kuasa, mencuri wang, tidak bantu Melayu selesaikan masalah kemiskinan,” katanya dalam hantaran terbaharu di akaun media sosialnya, pada Rabu.
Dalam satu sidang akhbar pada Ahad lalu, Dr Mahathir mendakwa perhimpunan Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dianjurkan disebabkan campur tangan kerajaan.
Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu turut mendakwa, kerajaan hari ini takut untuk mendengar suara orang Melayu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak memperincikan dakwaannya atau memberikan sebarang bukti wujudnya campur tangan kerajaan berkenaan perkara itu.
Mengulas lanjut, negarawan itu menegaskan, kerajaan hari ini seolah-olah mengiyakan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu sekiranya tidak mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi kaum itu.
"Perbuatan berat sebelah terhadap Melayu adalah petunjuk sikap perkauman kerajaan dan ia adalah hasutan kerana bertentangan dengan perlembagaan negara kita.
"Oleh itu, pemimpin kerajaanlah yang perlu didakwa atas hasutan," tegas Dr Mahathir lagi. - Awani