TANAH MERAH - Tindakan seorang lelaki menyorokkan bekalan syabu untuk 4.9 juta penagih jika terlepas ke pasaran di bawah timbunan pakaian terpakai (bundle) dalam sebuah van jenis Nissan berjaya dirampas oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Jalan Wan Ahmad, di sini pada Isnin.
Bagaimanapun lelaki yang membawa dadah bernilai RM17.9 juta itu berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan tersebut pada jam 11.30 malam.
Iklan
Iklan
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, hasil pemeriksaan di bahagian belakang van tersebut telah menjumpai 13 guni warna putih yang disyaki berisi dadah jenis syabu.
"Ia mengandungi 499 kilogram (kg) syabu dan dipercayai dibawa dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan pada van tersebut adalah palsu selain terdapat gangguan terhadap nombor chasis serta enjin tersebut," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Rabu.
Menurut beliau, kes tersebut akan disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, ujarnya permintaan tinggi terhadap syabu menyebabkan ia antara yang paling popular diseludup masuk untuk pasaran sebelah Barat Malaysia.