160 pelajar sekolah di Sabah terlibat jenayah termasuk rogol

Iklan
Idris bergambar bersama pelajar dan warga SMK Petagas ketika hadir pada Program Hari Pertama Bersekolah di Putatan.

PUTATAN - Seramai 160 pelajar ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk rogol di negeri ini pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, statistik itu dilaporkan sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Jumlah itu membabitkan 140 pelajar lelaki dan 20 lagi pelajar perempuan. Antara kes yang ramai pelajar terlibat adalah kes merusuh di bawah Seksyen 147/148 Kanun Keseksaan atau gaduh gempar yang melibatkan seramai 55 pelajar.

"Diikuti pula dengan kesalahan mencederakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan melibatkan seramai 21 pelajar iaitu 18 daripadanya lelaki dan tiga pelajar perempuan.

Iklan

"Selain itu, terdapat kesalahan rogol yang melibatkan seramai 20 pelajar lelaki dan kesalahan mencuri seramai 19 pelajar," katanya ketika berucap pada Program Hari Pertama Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas di sini pada Rabu.

Katanya, jumlah pelajar terlibat dalam jenayah itu dilihat sebagai satu angka yang besar dan ia amat membimbangkan.

Iklan

"Daripada jumlah 160 pelajar itu, hanya sembilan orang sahaja yang telah dibebaskan tanpa syarat setelah selesainya siasatan.

"Selebihnya telah dibebaskan atas jaminan polis yang berkemungkinan akan dituduh di mahkamah dan dua lagi pelajar telah dituduh di mahkamah atas kesalahan merusuh dan mencuri," katanya.