Thai Hot Guy timbulkan keresahan ketika Ramadan

Iklan
Saifuddin Nasution ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti mengenai penganjuran satu acara hiburan 'Thai Hot Guy' yang dikatakan bakal berlangsung di ibu negara, akhir bulan ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjuran sebarang aktiviti perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat pelbagai kaum terutama agama yang dianuti.

Iklan
Iklan

"KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan mengenal pasti fakta, siapa (penganjur) yang buat, kelulusan dari pihak mana, sama ada pihak berkuasa tempatan atau mana-mana (pihak)," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pihak antaranya Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu kerajaan membatalkan acara pertunjukan lelaki macho 'Thai Hot Guy' pada 30 Mac depan.

Iklan

Saifuddin Nasution turut menegaskan, aktiviti yang boleh menimbulkan keresahan sesuatu kaum di negara ini tidak seharusnya diteruskan terutama di bulan Ramadan.

"Reaksi umum saya adalah jelas, memasuki ambang Ramadan sebaik-baiknya untuk acara seumpama itu tidak diteruskan kerana ia boleh mewujudkan keresahan (kerana) umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan suci (Ramadan).

Iklan

"Sebagai menteri, saya cenderung untuk menyebut menjadi kewajipan semua agar ketibaan bulan suci ini dihayati dalam konteks memuliakan, mengambil peluang mengukuhkan elemen saling memahami, hormat menghormati dan tidak memasuki ‘territory’ yang dianggap boleh mencetuskan sensitiviti (agama),” katanya

Dalam pada itu beliau memberi jaminan pihak yang bertanggungjawab akan menjalankan siasatan berhubung acara berkenaan.

"Biar pihak yang berkenaan (jalankan siasatan),” jelasnya.

AMK desak Thai Hot Guy dibatalkan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga mengkritik sekeras-kerasnya penganjuran Thai Hot Guy yang akan diadakan pada 30 Mac depan bertempat di Privacy Tun Abdul Razak.

Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) AMK, Ashraf Hadi berkata, penganjuran program tersebut yang berlangsung ketika Ramadan mengguris sensitiviti masyarakat.

Menurutnya, walau apa jua alasan, program tersebut wajib dibatalkan.

Katanya, walaupun Kerajaan Madani menjunjung tinggi nilai kebebasan rakyat namun ada batasan dan perlu saling menghormati.

"Nilai penghormatan hilang kerana program ini bertentangan dengan norma masyarakat, budaya setempat dan menghakis nilai kearifan tempatan yang menjadi tunjang kepada pembentukan identiti Malaysia.

"Ejen yang menjadi pengancam kepada identiti negara bangsa Malaysia wajib ditentang tanpa kompromi," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Penganjuran yang mendukacitakan, tidak bertanggungjawab

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan penganjuran acara hiburan itu sebagai mendukacitakan dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, penganjuran acara tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat negara ini

"Apatah lagi dalam suasana umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan yang dipenuhi dengan kemuliaan, penganjuran acara berkenaan amat mendukacitakan serta tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan ke atas penganjuran acara tersebut.

"Selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, Jawi tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Sentuh sensiviti umat Islam

Sementara itu di KOTA BHARU, Pemuda UMNO Kota Bharu pada Rabu turut membuat laporan polis mengenai penganjuran program tersebut.

Naib Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Muhammad Farridul Farris Mat Hussin berkata, program itu menyentuh sensitiviti rakyat pelbagai kaum yang hidup bersama dan saling ada persefahaman.

Menurutnya, gambar di poster berkenaan tidak sesuai dengan budaya masyarakat negara ini dan boleh dianggap biadab.

"Saya dan ahli jawatankuasa mewakili keseluruhan Pemuda UMNO membuat satu laporan polis mengenai pembukaan kelab berkenaan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Muhammad Farridul Farris dan 12 Pemuda UMNO membuat laporan itu kira-kira jam 1.30 petang di Balai Polis Kota Bharu di sini.

Tambah beliau, berdasarkan pemerhatian poster berkenaan menunjukkan wujudnya unsur-unsur hiburan dan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Gambar sekumpulan lelaki memakai pakaian wanita yang mencolok mata menguatkan lagi andaian bahawa program yang diuar-uarkan melampaui batas yang tidak dibenarkan dalam negara ini.

Beliau berkata, program yang dijadualkan pada 30 Mac itu tidak menghormati umat Islam di seluruh dunia yang sedang menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan.

Sebelum ini, tular di laman soasial memgenai program berkenaan dan berdasarkan makluman di Facebook, pembukaan rasmi itu akan dipersembahkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand.

Mereka berpakaian dalam wanita dikenali sebagai 'Thai Hot Guy'.

'Tidak hormati Ramadan, sengaja cetus kemarahan umat Islam'

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Aliff Asyraf Azhari menyifatkan penganjuran program Thai Hot Guy pada 30 Mac ini sebagai tindakan yang sengaja dilakukan dengan niat untuk menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menurutnya, penganjuran program sedemikian merupakan perbuatan biadab dan tidak menghormati umat Islam di negara ini.

"Pihak penganjur dilihat tidak sensitif dan sengaja menimbulkan kemarahan umat Islam dengan menganjurkan program yang berunsur ideologi dan perlakuan songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dalam negara.

"Penganjuran program dalam bulan Ramadan iaitu bulan suci umat Islam, seharusnya perkara sebegini tidak berlaku dan ia merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima akal yang waras," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuala Selangor di sini pada Rabu.

Katanya, penganjur seharusnya perlu lebih peka dan sensitif dengan tidak sengaja menimbulkan provokasi murahan dengan penganjuran program sedemikian.

"Islam sebagai agama rasmi persekutuan, perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia secara jelas difahami dan dihayati oleh semua rakyat.

"Apa yang musykil, pihak sebegini seolah buat tak faham soal budaya LGBT yang jelas sekali bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat di Malaysia ini, saya anggap pihak ini sengaja melakukan tindakan sebegini," katanya.

Ujar Aliff Asyraf, budaya songsang LGBT bukan sahaja bertentangan dengan Islam malahan tidak diterima semua masyarakat di negara ini.

"LGBT ibarat barah yang bukan sahaja menghancurkan individu malah boleh mengakibatkan kesan besar terhadap institusi keluarga dan masyarakat itu sendiri.

"Kita tidak mahu budaya songsang LGBT menular dalam kalangan masyarakat, harus diingat sebarang perbuatan yang melanggar hukum agama pasti akan mendapat balasan daripada ALLAH, atas dasar itu kami tampil membantah penganjuran program berunsur LGBT sebegini," katanya.

Pihaknya berharap agar satu tindakan tegas dikenakan terhadap penganjur yang berkeinginan menjalankan program seperti itu.

"Kami berharap pihak berwajib dapat mengharamkan terus program berunsur LGBT ini, saya mahu tegaskan tiada tempat bagi sebarang program berunsur LGBT di negara ini," katanya.

Turut hadir membuat laporan polis adalah Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Karang bersama Pekida Kuala Selangor.

Pada Isnin, sebuah akaun Facebook memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.