KUALA TERENGGANU - Keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai gabungan itu bukanlah bermaksud mereka berseteru.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN mempunyai alasan dan hujah tersendiri apabila tidak menerima penyertaan Pejuang.
Menurutnya, keputusan tersebut juga telah dibincangkan secara bersama melibatkan semua kepimpinan PN yang hadir dalam mesyuarat Tertinggi PN.
"Bukan bermakna tak diterima itu (bermaksud) kita bergaduh atau berseteru dengan parti-parti ini," katanya selepas hadir ke Majlis Pemberian Bantuan Tunai ”One Off” kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
Turut hadir Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Melalui insentif itu, seramai 141 imam dan bilal yang bertugas di seluruh negeri ini menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM200 seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM28,200.
Ditanya sama ada PN akan menerima Pejuang pada masa akan datang, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perkara itu boleh dibincangkan kembali selepas ini.
Sebelum ini, Majlis Tertinggi PN pada Isnin yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Pejuang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan semua wakil parti-parti anggota.