KEPALA BATAS - Ramadan disambut ceria 4,261 asnaf di negeri ini apabila menerima sumbangan zakat menerusi program Nur Ramadan yang dianjurkan Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, bagi tahun ini sebanyak RM4.02 juta yang disalurkan kepada 4,261 orang penerima asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan kewangan bulanan serta bantuan makanan bulanan.
Menurutnya, setiap penerima mendapat sumbangan tunai RM700 berserta hamper barangan keperluan bernilai RM 100.
"Kita harapkan dengan penyampaian agihan Nur Ramadan ini akan memberi sinar kebahagiaan kepada golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang.
"Saya berharap agar agihan Nur Ramadan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat menyinari hidup anda semua bagi menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba pada Khamis ini," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Serahan Nur Ramadan Tahun 2023M/1444H di Dewan Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali.
Sementara itu, Amran berkata pihaknya menambah jumlah sumbangan tunai diterima setiap asnaf iaitu RM700 berbanding RM600 tahun sebelumnya.
Beliau berharap peningkatan jumlah sumbangan tunai berserta pemberian hamper barangan keperluan harian bernilai RM100 itu dapat meringankan beban penerima sepanjang Ramadan ini.
"Ini tahun kedua kita (ZPP) menaikkan jumlah sumbangan tunai kepada asnaf yang layak menerimanya.
"Kita percaya jumlah ini mencukupi untuk mereka belanja apa yang perlu sepanjang Ramadan," katanya.