Anak buah Pan-gon berdepan taktikal misteri Orazov

Iklan
Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan di sebuah hotel hari ini. 

- Foto Bernama

KETUA Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilihat mahu memulakan rangka persediaan menuju Piala Asia 2023 dengan langkah proaktif apabila menjadikan Turkmenistan sebagai lawan pertama pada perlawanan persahabatan malam esok.

Aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri itu adalah perlawanan sulung pasukan negara selepas tersingkir di separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Januari lepas.

Iklan
Iklan

Berdasarkan ranking dunia, Turkmenistan yang dibimbing jurulatih baharu, Mergen Orazov menghuni posisi ke-135 sementara Malaysia ke-145, namun pasukan lawan gagal layak ke Piala Asia 2023 selepas kecundang di pusingan kelayakan di Kuala Lumpur, Jun tahun lalu.

Malaysia menewaskan Turkmenistan yang diberi julukan"The Green” 3-1 pada aksi Kumpulan E pusingan kelayakan itu yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Iklan

Bagaimanapun, pasukan negara terutama lapan muka baharu yang dipanggil membarisi skuad kebangsaan tidak boleh memandang rendah kemampuan Turkmenistan di bawah kendalian Orazov.

Jurulatih muda berusia 34 tahun itu yang dilantik pada bulan lepas bagi membawa pasukan mengharungi cabaran pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 bermula tahun ini bukan lah seorang pengendali biasa selepas meraih pelbagai kejayaan dalam karier berbeza.

Iklan

Menurut https://turkmenistan.gov.tm/en/post/69714/new-head-coach-will-prepare-national-team-turkmenistan-qualifying-matches-2026-world-cup, Orazov ialah bekas pemain futsal yang berjaya di peringkat kelab dan antarabangsa sebelum menjadi jurulatih di penghujung kariernya pada 2020.

Orazov, Jurulatih Futsal Terbaik Turkmenistan 2020 memulakan perjalanan dalam dunia bola sepak setahun kemudian apabila menerima tawaran selaku pengendali kelab negara itu Ahal FK dan membawa pasukan memenangi gelaran liga domestik sulung serta dua lagi kejuaraan musim lalu.

Dengan perlawanan esok menjadi aksi sulung beliau membimbing Turkmenistan, Orazov pasti teruja untuk menunjukkan kemampuan menerusi pendekatan taktikalnya yang masih lagi misteri sekali gus menjadi tanda tanya buat Pan Gon apakah yang bakal dihadapi pasukannya.

Keputusan seri di laman lawan sudah cukup memadai buat Orazov bagi mengelakkan rekod buruk pada tugasan pertamanya.

Esok merupakan pertemuan kedua Malaysia dan Turkmenistan di pentas antarabangsa selepas kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Kali ini, Pan Gon membawa keseluruhan 27 pemain antaranya terdiri daripada sembilan pemain yang beraksi di Piala AFF 2022 serta diperkuat lapan muka baharu seperti dua pemain naturalisasi Paulo Josue dan Endrick Dos Santos, pemain pertahanan muda Muhamad Feroz Baharudin dan Nooa Laine.

Laine merupakan pemain kacukan Malaysia-Finland berusia 21 tahun yang beraksi di posisi tengah bersama kelab profesional Finland SJK Seinajoki.

Sementara itu, penjaring terbanyak pasukan negara pada kempen Piala AFF 2022 Mohamad Faisal Halim berpeluang menemui semula sentuhan jaringannya esok selepas melalui kemarau gol dalam lima aksi pertama Liga Super bersama pasukan Selangor musim ini.

Pan Gon yang kembali mendapat pemain utamanya selepas dilabel membawa ‘skuad B’ ke Piala AFF 2022, dijangka menggunakan sepenuhnya peluang berdepan Turkmenistan untuk merangka strategi awal dalam membentuk skuad terhebat bagi menghadapi Piala Asia 2023.

Piala Asia 2023 dijadual berlangsung di Qatar pada Januari 2024.

Perlawanan esok merupakan kali pertama skuad Harimau Malaya bermain di Stadium Sultan Ibrahim selepas kali terakhir beraksi di Johor sewaktu tewas 1-2 kepada Lubnan pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2017. - Bernama