SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung kali pertama pada Rabu selepas berakhirnya proses pemilihan parti membabitkan 187 bahagian di seluruh negara baru-baru ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan barisan kepimpinan MKT UMNO mengangkat sumpah jawatan bersama-sama Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Iklan
Iklan
Lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia ini dibuat bagi sesi baharu iaitu 2023-2026, sebelum menandatangani dokumen ikrar tersebut di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn di sini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang baharu memenangi jawatan itu berkata, menyuarat itu diadakan buat pertama kalinya selepas selesai Persidangan UMNO Bahagian-Bahagian seluruh negara pada 18 Mac lalu.
"Apa yang penting, selepas selesai pemilihan UMNO tempoh hari, seluruh ahli dapat bersatu hati untuk perkuatkan semula parti agar UMNO kembali menjadi pilihan rakyat negara ini dan terus membawa perjuangan demi agama, bangsa serta tanah air," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi UMNO Pahang dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan dua muka baharu bagi jawatan Naib Presiden UMNO.
Seorang lagi, penyandang jawatan itu yang juga Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut berjaya mengekalkan kemenangan.