KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menempatkan sebanyak 430 buah tangki statik (TS) di kawasan yang bertekanan rendah dan sering mengalami gangguan bekalan air sebagai persiapan menghadapi Ramadan.
Tangki bersaiz 500 hingga 2,000 gelen itu diletakkan di lokasi-lokasi strategik seluruh Kelantan untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air terawat jika berlaku gangguan bekalan air.
Pengurus Besar AKSB, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, pihaknya juga menyediakan sembilan buah lori tangki dan empat unit lori air kontrak serta tambahan 27 buah lori tangki air kontrak (LAK) untuk mengisi air di TS dan menghantarnya kepada pengguna yang terkesan.
"AKSB telah memastikan lori-lori ini diselenggara dengan baik dan dapat beroperasi dengan sempurna semasa bulan Ramadan dan juga musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
"AKSB juga akan memastikan kakitangan di Unit Mekanikal dan Elektrikal, terutama yang terlibat dengan pengoperasian rawatan dan agihan air terawat termasuk pembaikian kebocoran di seluruh jajahan sentiasa mencukupi serta dapat dihubungi sekiranya berlaku apa-apa gangguan bekalan air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, Unit Hal Ehwal Pengguna (Pintas) akan menerima aduan daripada pengguna sepanjang bulan Ramadan seperti biasa bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, kecuali hari Khamis jam 8 pagi hingga 9.30 malam.
Bagi aduan di luar waktu tersebut, panggilan aduan akan direkodkan dan pelanggan akan dihubungi pada keesokan harinya.
Nazmi memberitahu, Pintas boleh dihubungi melalui talian 15777, WhatsApp (019-5755777) atau e-mel ke pintas@airkelantan.com.my.
"Pengguna juga boleh muat turun applikasi MyAKSB melalui Google Play Store dan App Store untuk mendapatkan maklumat mengenai bekalan AKSB," katanya.