RIZAB antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$114.0 bilion (AS$1= RM4.47) pada 15 Mac 2023, dan paras rizab ini memadai untuk membiayai lima bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$101.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.9 bilion).
Iklan
Iklan
Sementara itu, jumlah aset berjumlah RM614.08 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM500.06 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.29 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.01 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.77 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset-aset lain (RM72.81 bilion).
BNM berkata bahawa modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM158.77 bilion), mata wang dalam edaran (RM160.43 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM209.32 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM7.52 bilion), deposit lain (RM37.93 bilion), kertas Bank Negara (RM7.87 bilion), peruntukan SDR (RM28.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.92 bilion). - Bernama