SEREMBAN - Dasar pensijilan halal di negeri ini adalah bersifat terbuka dan sukarela.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, pengusaha pasar raya juga bebas untuk mendapatkan bekalan ayam mentah dari mana-mana rumah sembelihan sama ada yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia(SPHM) atau tidak mempunyai sijil halal.
Menurutnya, terdapat dua kaedah penjualan ayam di pasar raya besar iaitu penjualan tanpa pembungkusan dan dengan pembungkusan.
"Ayam dalam pembungkusan boleh dikenal pasti status halal melalui logo halal yang tertera dan boleh disemak kesahihannya dalam direktori www.halal.gov.my.
"Bagi yang tiada, maka status halal ayam tersebut adalah di luar pengetahuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Mohd Suhaimi Kassim (PH-Lenggeng) berkenaan isu status halal dan kebersihan ayam segar dibeberapa pasar raya di Negeri Sembilan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14), hari ini.
Beliau yang juga Exco Agama Islam negeri berkata, pengguna dinasihatkan supaya membeli ayam yang dibungkus oleh pembekal yang mendapat SPHM.
Namun Aminuddin berkata, penguatkuasaan dan pamantauan akan dijalankan jika terdapat aduan dari orang ramai berkaitan keraguan dan penyalahgunaan tanda halal.
"Jika didapati berlaku penipuan atau penyalahgunaan tanda halal, maka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat perkara itu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1juta," katanya.