Bubur lambuk Kampong Bharu 'on' seperti biasa

Iklan
Penyediaan bubur lambuk Masjid Jamek Kampong Bharu pada tahun lepas. (Gambar kecil: Mohamad Syamim)

KUALA LUMPUR - Dicari setiap kali tibanya Ramadan, tradisi edaran bubur lambuk secara percuma di Masjid Jamek Kampong Bharu diteruskan seperti biasa.

Setiausaha Masjid Jamek Kampong Bharu, Mohamad Syamim Mohd Hussin berkata, sebanyak 15 periuk bubur lambuk akan dimasak dengan edaran hingga 3,000 bungkusan setiap hari bermula 1 Ramadan.

Iklan
Iklan

"Persiapan telah dijalankan sejak tiga minggu lalu termasuk mendapatkan penaja dan sebagainya. Alhamdulillah setakat ini, kita menerima tajaan bekalan gas, beras dan minyak masak.

"Bagi melancarkan program, kami membuat tempahan awal bahan basah seperti daging, bawang dan lain-lain kepada pembekal sama setiap tahun bagi memastikan tiada masalah bekalan sepanjang program berlangsung," katanya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 10 tukang masak dan 10 petugas pembungkusan akan terlibat dalam penyediaan bubur lambuk berkenaan pada tahun ini.

Ujarnya, pihak masjid mengalu-alukan khidmat sukarelawan namun berharap mereka memaklumkan lebih awal bagi mengelak petugas terlalu ramai yang boleh menyebabkan kesesakan di bahagian dapur masjid.

Iklan

Ditanya berkenaan kos operasi, beliau berkata, berlaku kenaikan sebanyak RM100 bagi penyediaan setiap satu periuk bubur lambuk susulan kenaikan harga barang yang tidak dapat dielakkan.

"Bagaimanapun, ada hari-hari tertentu kuantitinya dikurangkan seperti Sabtu dan Ahad namun pada hari-hari biasa, bubur lambuk dimasak secara maksimum sebanyak 15 periuk," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihak masjid melaksanakan program Ihya Ramadan seperti tadarus, qiamullail dan tarawih seperti kebiasaan.

Selain itu katanya, juadah percuma bagi buka puasa dan sahur kepada 200 orang disediakan secara percuma pada setiap hari sepanjang Ramadan.

Beliau berharap, peralihan fasa endemik Covid-19 dapat dimanfaatkan umat Islam sekitar kawasan itu untuk sama-sama melakukan ibadah di bulan penuh keberkatan itu.

"Fasa endemik kini sudah tiada sebarang halangan dan garis panduan juga sudah dilonggarkan. Tiada lagi had kapasiti jemaah, penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka, maka tiada alasan untuk tidak bertarawih beramai-ramai di masjid.

"Alhamdulillah, jemaah solat fardu juga semakin ramai, harap tarawih juga begitu, sekurang-kurangnya 1,000 jemaah setiap malam," katanya.

Tambahnya, Masjid Jamek Kampong Bharu mampu memuatkan sehingga 8,000 jemaah.