SHAH ALAM - Syarikat aplikasi perkongsian, TikTok memperbaharui Garis Panduan Komuniti platform berkenaan bagi memperkukuhkan peraturan sedia ada sekaligus memberi perlindungan terhadap potensi ancaman-ancaman yang baharu.
Ketua Global Polisi Produknya, Julie de Bailliencourt berkata, pembaharuan yang akan berkuatkuasa pada 21 April ini turut memperkenalkan panduan Prinsip Komuniti TikTok, membimbing dari segi penyediaan kandungan yang menegakkan hak asasi manusia dan rangka kerja undang-undang antarabangsa.
"Setakat ini, pihak kami telah merujuk lebih daripada 100 organisasi di seluruh dunia, termasuk Persatuan Antarabangsa untuk Pencegahan Bunuh Diri, Majlis Penasihat Keselamatan TikTok Asia Tenggara, Persatuan Bertindak Semua Wanita di Malaysia dan ahli-ahli dalam komuniti kami.
"Input mereka membantu kami mengukuhkan peraturan kami dan bertindak balas terhadap ancaman baharu dan potensi bahaya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, ujar Julie, beberapa perubahan utama Garis Panduan Komuniti tersebut adalah dari segi media sintetik, penambahan kumpulan baharu, perlindungan sivik dan integriti pilihan raya.
Menurutnya, dalam beberapa bulan akan datang, TikTok akan menyediakan latihan tambahan kepada moderator mereka untuk membantu menguatkuasakan peraturan dan piawaian yang dikemas kini dengan lebih berkesan apabila ia mula dilancarkan.
"Kami juga telah membentangkan empat pendekatan kami untuk penyediaan kandungan.
"Antaranya membuang kandungan yang melanggar peraturan; kandungan matang yang hanya boleh dilihat oleh orang dewasa (18 tahun ke atas); jadikan kandungan yang tidak sesuai untuk tontonan khalayak umum sebagai tidak layak untuk kategori pengesyoran dan memperkasakan komuniti dengan alat dan sumber maklumat terkini untuk terus mengawal pengalaman mereka,” ujarnya.
Sementara itu, ulasnya, kemas kini pada Garis Panduan Komuniti juga turut merangkumi perluasan dari aspek strategi penguatkuasaan.
"Antaranya ialah berkongsi lebih banyak maklumat tentang tindakan yang kami ambil terhadap akaun yang melanggar peraturan kami, berikutan kemas kini kami awal tahun ini dan menjelaskan bahawa kami tidak membenarkan penggunaan berbilang akaun untuk memintas peraturan kami atau penguatkuasaan mereka dengan sengaja.
"Selain itu, menjelaskan pertimbangan yang kami ambil kira apabila kami menguatkuasakan peraturan kami berdasarkan kepentingan awam dan pendekatan kami terhadap kandungan yang mengkritik tokoh-tokoh awam.
"Termasuk butiran lanjut tentang cara kami menggunakan label maklumat, amaran dan skrin ikut serta,” jelasnya.