'Saya jadi pemain lebih baik lepas sertai Harimau Malaya'

Iklan
Cools pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama

KETUA Pasukan Harimau Malaya, Dion Cools merasakan yang beliau telah melalui proses perubahan yang positif dan menjadi pemain yang lebih baik, selepas bermain untuk pasukan kebangsaan.

Pemain pertahanan kacukan Belgium-Malaysia itu berkata, tanggungjawab yang dibawanya sewaktu mewakili skuad kebangsaan sejak Jun 2021, telah memberinya satu pengalaman baharu yang tidak dapat dikecapinya ketika bermain di peringkat kelab.

Iklan
Iklan

"Saya rasa begitu (jadi pemain lebih baik), ia satu tanggungjawab yang lebih besar bermain untuk Malaysia, anda dapat pengalaman yang baharu yang tidak akan didapati ketika bermain dengan kelab.

"Jadi tentunya saya menjadi lebih matang daripada perlawanan ini dan ya saya katakan ia satu pengalaman yang positif,” katanya pada sidang media praperlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan yang dijadualkan malam esok, di sini.

Iklan

Cool buat pertama kalinya menyertai skuad kebangsaan yang ketika itu dikendalikan Tan Chen Hoe, untuk pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun 2021.

Pemain Buriram United berusia 27 tahun itu setakat ini telah menjaringkan satu gol peringkat antarabangsa ketika Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 pada pusingan ketiga kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Jun tahun lepas, bagi membantu pasukan itu layak ke piala berprestij itu.

Iklan

Sementara itu bekas pemain Kelab Brugge Belgium itu berkata, pasukan itu telah menjalani sesi latihan pusat yang baik bagi menghadapi pasukan Turkmenistan malam esok dan Hong Kong (28 Mac) di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, di sini.

"Saya lihat pasukan berada dalam keadaan baik, pemain baharu juga dapat sesuaikan diri, jadi saya teruja untuk dua perlawanan ini kerana kami ada skuad yang berkualiti, saya percaya kami boleh menjadi lebih baik dalam setiap perlawanan yang kami mainkan,” katanya.

Cools merupakan antara nama besar bola sepak negara yang tidak bermain untuk pasukan kebangsaan dalam kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, yang menyaksikan Harimau Malaya tersingkir di separuh akhir.

Bagi perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong, Pan Gon menyenaraikan 27 pemain termasuk sembilan pemain dari skuad Piala AFF 2022 dan diperkuatkan dengan lapan muka baharu antaranya dua pemain naturalisasi Paulo Josue dan Endrick Dos Santos serta pemain pertahanan muda Muhamad Feroz Baharudin dan Nooa Laine.

Laine, 21, yang berasal dari Malaysia-Finland, bermain di bahagian tengah untuk kelab profesional Finland SJK Seinajoki. - Bernama