KUALA LUMPUR - Konvensyen melibatkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 14 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, konvensyen yang akan disertai oleh 20 parti dalam Kerajaan Perpaduan itu adalah untuk memperlihatkan perpaduan dalam kalangan parti gabungan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebanyak 20 parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dengan empat gabungan utama dalam parti akan berada pada satu tempat dan pada waktu yang sama.
"Ia bagi kita kita memperlihatkan solidariti dalam kalangan parti gabungan dan yang paling penting dukungan daripada UMNO cukup padu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO 2023-2026 yang pertama di sini pada Rabu.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, satu konvensyen bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, konvensyen itu juga antara lain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama dalam parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Mengenai rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Ahmad Zahid berkata, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid berkata, namun perkara yang penting untuk UMNO ketika ini adalah untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan dengan terus mendukung sepenuhnya pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau juga akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama pegawai-pegawai kerajaan setiap negeri sepanjang Ramadan tahun ini.
''Kita akan juga libatkan rakan daripada parti di dalam Kerajaan Perpaduan... untuk bersama menghadiri majlis (berbuka puasa ini) setiap hari di negeri berlainan,” katanya. - Bernama