Tujuh individu perdaya mangsa muat turun fail APK diberkas

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Azmi

KUALA LUMPUR - Tujuh individu disyaki terlibat dengan sindiket penipuan yang memperdayakan mangsa untuk memuat turun fail Kit Pakej Android (APK) diberkas selepas polis menyerbu dua premis di Jalan Tun Razak, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 27 tahun itu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan tawaran gaji sebanyak RM4,000 sebulan.

Iklan
Iklan

"Kita turut merampas 28 telefon bimbit dan lima unit komputer yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan sindiket penipuan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azmi berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan platform jual beli barang dalam talian untuk memperdayakan mangsa supaya memuat turun fail APK.

Iklan

Azmi berkata, akibatnya, kad debit mangsa akan digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa disedari.

"Sindiket penipuan itu telah beroperasi selama tiga bulan di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

"Orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah," katanya.